'Saya tidak jual nama Najib sertai Bersatu' - Noh Omar

Noh
Noh
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menegaskan kemasukan beliau ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukanlah menjual nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti didakwa Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Noh berkata, isu Titah Adendum Najib merupakan antara perkara yang mengecewakan beliau terhadap UMNO.

"Saya sudah lama kecewa dengan UMNO kerana parti itu tetap tidak berubah, tambahan pula di dalam isu Adendum ini, Najib sekali lagi terpedaya dengan drama dan wayang daripada rakan-rakan di sekeliling beliau.

"Mustahil Menteri-Menteri UMNO tidak tahu sama ada Adendum itu wujud atau pun tidak," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelas Noh, beliau tidak 'melompat' menyertai Bersatu kerana sebelum ini bukan menganggotai mana-mana parti politik atas nasihat Najib semasa berjumpa bekas Perdana Menteri itu di mahkamah yang memintanya bersabar.

"Oleh itu, saya bebas untuk memilih mana-mana parti dan menyertai Bersatu kerana wadah perjuangan parti ini, adalah orang-orang Melayu seperti perjuangan UMNO asal yang kini dah jadi UMDAP (UMNO-DAP)," ujar beliau.

Noh turut bertanya kepada Puad apakah UMNO turut membincangkan isu Titah Adendum dan pembebasan Najib di dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT).

"Mana pergi gerakan meminta tandatangan sokongan kepada Najib, untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16?

Artikel Berkaitan:

"MT juga pernah buat keputusan untuk pimpinan UMNO mengadap YDPA untuk membebaskan Bossku.

"Semasa MT buat keputusan ini adakah Puad bersetuju atau pun adakah Puad berani cadangkan sepatutnya jangan melibatkan YDPA tetapi sebaliknya pimpinan UMNO hendaklah pergi berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lembaga Pengampunan," tegas beliau.

Justeru, kata Noh, keputusan MT itu disifatkan hanya 'main wayang' dan adakah beliau turut mengetahui Adendum YDPA untuk menyambung penahanan Najib di rumah wujud atau tidak.

"Mengapa Kerajaan Madani tidak mahu mengesahkan sama ada Adendum YDPA wujud atau pun tidak, sedangkan ia melibatkan kuasa YDPA dalam Perlembagaan Negara.

"Saya yakin jika bertukar kerajaan isu Adendum ini akan terbongkar sama ada ia wujud atau tidak," jelas Noh.

Mengulas mengenai dakwaan Puad kononnya 'mengidam' mahu menjadi calon bagi kerusi Parlimen Tanjong Karang, Noh berkata, beliau telah pun menolak untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ke-15.

"Puad kata saya beri alasan 'low class' (berkelas rendah), tetapi sebenarnya tanpa Puad sedari, beliau Speaker DUN yang Low Class.

"By Convention, di Parlimen Westminster, United Kingdom atau pun di mana-mana Parlimen di negara Komanwel, apabila seseorang ahli Parlimen dilantik sebagai Speaker House of Commons atau Speaker negara, maka tidak lagi mencampuri urusan isu-isu politik kepartian.

"Speaker mesti neutral dan impartial, tidak memihak pada mana-mana pihak," ujar beliau.

Bagaimanapun, katanya, apa yang dilakukan Puad telah mencampuri urusan politik parti setiap hari dengan komen-komen yang kadangkala dilihat lucu dan menghiburkan agar beliau merasakan dirinya dilihat terus relevan di arus politik.

Noh juga tidak menolak kemungkinan Puad masih lagi mengidam mahu menjadi menteri kabinet Kerajaan Persekutuan suatu hari nanti.

"Saya hendak tanya sebagai Speaker DUN Johor adakah Puad bersetuju dengan keputusan Speaker DUN Kelantan mengisytiharkan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri?," tambahnya.

Terdahulu, Puad mendakwa, kemasukan Noh dalam Bersatu menjual nama Najib untuk lompat parti dan mahu menjadi calon bagi kerusi Parlimen Tanjong Karang.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Noh mengesahkan menyertai Bersatu berkuat kuasa serta-merta selepas membuat permohonan secara terus dalam talian tanpa diketahui sesiapa pada Khamis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!