Sepanyol intai gelaran juara

De la Fuente (kiri) meraikan kejayaan Sepanyol mara ke separuh akhir Euro 2024 bersama pemain. - Foto: EPA.
De la Fuente (kiri) meraikan kejayaan Sepanyol mara ke separuh akhir Euro 2024 bersama pemain. - Foto: EPA.
A
A
A

LUIS de la Fuente bangga dengan skuad muda Sepanyol setelah membenam cabaran tuan rumah, Jerman 2-1 untuk mara ke separuh akhir Euro 2024.

"Saya bangga dapat melatih pemain seperti ini (muda) dan tidak pernah puas.

"Mereka sudah biasa bersaing di peringkat tertinggi dan kami mempunyai peluang untuk memenangi kejohanan itu," katanya.

Dalam aksi itu, Sepanyol di depan pada minit ke-51 apabila Dani Olmo yang masuk selepas lapan minit untuk menggantikan Pedri yang cedera menyudahkan hantaran pemain berusia 16 tahun, Lamine Yamal.

Pasukan tuan rumah mengikat kedudukan pada minit terakhir masa sebenar menerusi Florian Wirtz untuk mengheret aksi ke masa tambahan.

Olmo sekali lagi menjadi watak penting, kali ini pada minit ke-119 apabila mengumpan bola cantik kepada Mikel Merino untuk menanduk masuk gol kemenangan Sepanyol.

De la Fuente berpengalaman sebagai jurulatih di pelbagai peringkat usia skuad kebangsaan Sepanyol dan membimbing beberapa pemain dalam kumpulan umur yang lebih muda.

"Saya bangga kami dapat mewakili Sepanyol. Sejauh mana kami akan melangkah, kita akan lihat, tetapi kami benar-benar yakin boleh pergi jauh dengan pasukan ini.

Artikel Berkaitan:

"Sangat gembira dengan keputusan ini, tetapi kegembiraan kami terkawal. Kami tahu esok adalah hari lain," katanya.

Bukan diletakkan sebagai pasukan pilihan, Sepanyol akan membuat perhitungan dengan Perancis dalam aksi separuh akhir di Munich pada Rabu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!