MMA gesa syarikat hentikan sementara bayaran levi HRD Corp

Dr Azizan. Laporan Sinar Harian
Dr Azizan. Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa mana-mana syarikat yang membayar levi kepada Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) untuk menghentikan urusan tersebut buat sementara waktu.

Ia susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024 yang mendedahkan sebanyak RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan telah digunakan untuk melabur.

Presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz berkata, kutipan berkenaan adalah hasil titik peluh daripada pendapatan perniagaan yang diamanahkan bagi membangunkan bakat baharu di negara ini.

Menurutnya, perkara tersebut perlu disiasat secara menyeluruh kerana tidak adil bagi entiti perniagaan yang terus melakukan pembayaran sedangkan siasatan masih dijalankan pihak berkuasa.

“Siasatan terhadap isu ini perlu dilakukan dengan telus dan kami percaya adalah tidak adil bagi perniagaan lain terus membuat pembayaran kepada HRD Corp sementara menunggu siasatan penuh oleh pihak berkuasa.

“Pada tahun 2022, MMA telah menulis surat kepada HRD Corp untuk mendapatkan penjelasan tentang keperluan pengamal perubatan am (GP) swasta membayar levi dan kami menerima jawapan keperluan tersebut.

“Kami amat kecewa kerana terdapat 11,000 klinik GP swasta berdaftar di seluruh negara dengan 80 peratus daripada GP swasta adalah pengamal perubatan persendirian dan MMA berasa tertipu apabila mendengar isu ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada 4 Julai lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sebanyak RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan telah digunakan Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) untuk melabur sedangkan ia bukanlah sebuah institusi pelaburan.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif SG Education Group Datuk Sri Ganes telah menyerahkan dokumen bukti yang dikaitkan dengan penyelewengan dana milik HRD Corp kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memudahkan siasatan.

Mengulas lanjut, menurut Azizan, kerajaan perlu menjelaskan kepada pemilik perniagaan berhubung laporan audit tersebut.

Tambahnya, mereka akan terus memperjuangkan hak komuniti perubatan sementara menunggu jawapan segera daripada kerajaan berkenaan isu terbabit.

“Kerajaan Madani perlu menjalankan siasatan dengan penuh telus dan kami akan terus mempertahankan hak serta kepentingan komuniti perubatan secara amnya,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!