PRK Sungai Bakap: Abidin selesai mengundi, Joohari tinjau pusat undi
SUNGAI BAKAP - Calon Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Abidin Ismail selesai mengundi di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri pada jam 8.20 pagi Sabtu.
Abidin hadir dengan berkemeja putih tiba di pusat pengundian pada jam 8.15 pagi dan terus bergerak ke tempat pembuangan undi.
"Alhamdulillah saya dah selesai mengundi pagi ini, harap semua berjalan lancar... ramai yang hadir mengundi awal.
"Saya harap pengundi muda juga dapat keluar ramai-ramai mengundi," katanya ketika ditemui selepas selesai membuang undi.
Sementara itu, Calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin tidak membuang undi kerana bukan pengundi berdaftar di DUN Sungai Bakap.
Bagaimanapun, Joohari yang bekemeja biru dan bersongkok dilihat tiba di pusat pengundian sama pada jam kira-kira 9.13 pagi sebelum meninjau saluran pusat mengundi yang mulai sesak.
Menurut Joohari, perjalanan mengundi di pusat berkenaan dilihat lancar dan tiada sebarang aduan setakat ini.
"Saya lihat kotak pengundi muda pun sudah ada kertas undi, sama banyak, jadi mereka pun datang awal, Alhamdulillah," katanya.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari dan Abidin.
Ia diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal memenangi kerusi N20 berkenaan setelah mengalahkan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!