LKAN: UIAM tidak ambil sebarang pinjaman hutang

Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengesahkan bahawa tiada sebarang pinjaman berbentuk hutang yang pernah diambil oleh institusi itu sehingga hari ini.
Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengesahkan bahawa tiada sebarang pinjaman berbentuk hutang yang pernah diambil oleh institusi itu sehingga hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengesahkan bahawa tiada sebarang pinjaman berbentuk hutang yang pernah diambil oleh institusi itu sehingga hari ini.

UIAM dalam satu kenyataan berkata, sebagai sebuah universiti awam, pihaknya tidak dibenarkan membuat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan untuk tujuan perbelanjaan operasi.

Justeru, laporan yang menyatakan bahawa universiti berkenaan berada dalam keadaan tidak berupaya membayar balik hutang adalah tidak tepat dan mengelirukan.

“Perkara ini dapat dibuktikan melalui hasil dapatan audit penyata kewangan oleh juruaudit bebas, KPMG Malaysia yang telah memberi penarafan sijil bersih kepada UIAM untuk tiga tahun berturut-turut (2021-2023).

“Kedudukan kewangan UIAM setakat 31 Disember 2022 menunjukkan kurangan terkumpul sebanyak RM17.06 juta yang disebabkan oleh peruntukan besar digunakan untuk pelan manfaat persaraan bagi kakitangan UIAM yang akan bersara wajib, selaras dengan kehendak Standard Laporan Kewangan Malaysia (MFRS).

“Pada tahun kewangan berakhir 2022, sejumlah RM308.59 juta telah direkodkan sebagai komitmen keseluruhan bagi pelan manfaat persaraan tersebut,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 mendedahkan kedudukan kewangan UIAM secara keseluruhannya kurang stabil kerana mencatatkan kurangan terkumpul sebanyak RM17.06 juta setakat 31 Disember 2022.

Tambah UIAM, pada awal pelaksanaan pembayaran ganjaran manfaat persaraan, pihak pengurusan berhasrat untuk tidak bergantung kepada geran khas kerajaan dan menggunakan sumber dalaman universiti bagi bayaran ganjaran perkhidmatan kakitangan bersara wajib.

Artikel Berkaitan:

Sehingga tahun 2023, hampir RM100 juta telah dibayar kepada kakitangan UIAM yang bersara menggunakan sumber dalaman universiti.

“Sebagai makluman, universiti awam lain dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (Bahagian Pencen).

“Namun, dengan peningkatan kadar inflasi, kenaikan gaji berperingkat sejak tahun 2012 serta pola umur kakitangan yang semakin meningkat (Persaraan), komitmen bayaran tahunan juga turut meningkat.

“Universiti telah membuat kajian dan mendapati sumber dalaman tidak lagi mencukupi untuk membiayai perbelanjaan ganjaran perkhidmatan kakitangan bersara wajib. Oleh itu, tindakan telah diambil oleh pihak pengurusan dengan mengemukakan kertas kerja kepada Kementerian Kewangan untuk memohon peruntukan tambahan tahunan,” jelasnya.

UIAM dijangka akan membelanjakan purata RM24 juta mulai tahun kewangan 2024 dan jumlah ini akan meningkat selaras dengan pengumuman awal Perdana Menteri dalam usaha memperbaiki struktur gaji kakitangan awam baharu yang bakal dilaksanakan pada penghujung tahun 2024.

“Sebagai makluman, UIAM ialah sebuah universiti awam yang beroperasi di bawah Akta Syarikat yang ditubuhkan 41 tahun lalu.

“UIAM sebagai syarikat kerajaan Malaysia, sentiasa memastikan pematuhan kepada dasar dan keutamaan pendidikan negara,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!