PRK Sungai Bakap: 16.74 peratus sudah mengundi

Orang ramai beratur untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRK Sungai Bakap di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng pada Sabtu. Foto Bernama
Orang ramai beratur untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRK Sungai Bakap di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Sebanyak 16.74 peratus pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat jam 10 pagi ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kesemua sembilan pusat mengundi melibatkan 65 saluran dibuka serentak pada 8 pagi tadi untuk memberi ruang kepada 39,151 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu kawasan itu hari ini.

Pusat pengundian berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng, SMK Bandar Tasek Mutiara, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, SK Sungai Duri, SMK Tun Syed Sheh Barakbah, SK Sungai Bakap, SK Jawi dan SK Sungai Kechil.

Pengundi, Michael Nyanamani, 56, menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRK Sungai Bakap di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasek Mutiara pada Sabtu. Foto Bernama
Pengundi, Michael Nyanamani, 56, menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRK Sungai Bakap di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasek Mutiara pada Sabtu. Foto Bernama

Kesemua pusat mengundi berkenaan akan ditutup pada 6 petang ini, sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.

Secara keseluruhan, 39,279 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 57 anggota polis, namun PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka walaupun tarikhnya ditetapkan pada 2 Julai lepas, setelah SPR mengeluarkan 128 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos.

Pengundi warga emas, Reehanum Abdul Majid, 78, mengundi pada PRK Sungai Bakap di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng pada Sabtu. Foto Bernama
Pengundi warga emas, Reehanum Abdul Majid, 78, mengundi pada PRK Sungai Bakap di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng pada Sabtu. Foto Bernama

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin dengan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. - Bernama

Artikel Berkaitan:

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!