Piala FA: Bidoglio enggan ulas lawan di separuh akhir

Penyerang import JDT Bergson Da Silva menanduk bola ke pintu gol MUFT pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat. - Foto: FB Johor Southern Tigers
Penyerang import JDT Bergson Da Silva menanduk bola ke pintu gol MUFT pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat. - Foto: FB Johor Southern Tigers
A
A
A

PENGENDALI Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio enggan mengulas mengenai lawan yang bakal ditemui pada aksi separuh akhir Piala FA kelak, sebaliknya mahu memberikan fokus kepada skuad kendaliannya itu.

Malah Bidoglio berkata, tiada gunanya untuk memikirkan mengenai perkara tersebut kerana apa yang penting baginya adalah untuk mempersiapkan skuad kendaliannya itu kerana masih banyak perlawanan yang bakal diharungi kelak.

“Tidak, saya tidak mahu fikirkan siapa (pasukan/kelab) yang kita akan temui pada separuh akhir nanti kerana fokus saya hanya kepada pasukan saya sahaja.

“Kerana apa yang penting dalam bola sepak adalah bermain sebagai sebuah pasukan dan mempersembahkan permainan yang dinamik sekiranya anda mahu menjadi juara atau memenangi sesuatu perlawanan,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat aksi perlawanan suku akhir bertemu Malaysian University.

Untuk rekod, pada aksi suku akhir kedua itu, JDT meraih kemenangan 8-0 dan layak ke separuh akhir dengan agregat 13-0 hasil kemenangan 5-0 di venue sama minggu lalu.

Sementara itu, Bidoglio berkata, percaturan skuad Harimau Selatan itu menurunkan kesebelasan utama pasukan pada aksi suku akhir kedua Piala FA berdepan skuad The University Tigers itu sebenarnya merupakan proses penggiliran pemain.

Menurutnya, proses penggiliran tersebut dilihat penting dalam usaha memastikan kesemua pemain mendapat minit permainan masing-masing selain sentiasa dalam keadaan bersedia untuk beraksi pada bila-bila masa.

“Seperti perlawanan sebelum ini semua tahu kami sedang ‘mendahului,’ tetapi pemain kami tetap beraksi dengan menyerang sebaik wisel permulaan.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana, bagi kami semua perlawanan adalah penting. Sebab itulah, dalam kedua-dua aksi Piala FA ini kami melakukan penggiliran pemain.

“Hasilnya seperti yang anda dapat lihat hari ini; kesemua pemain berusaha keras dan bagi saya perkara ini akan menjadikan pasukan ini lebih baik pada masa akan datang,” katanya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!