Hari Peneroka Felda: Generasi peneroka di seluruh negara wajib hadir
TANGGAL 7 Julai ialah tarikh untuk menghargai jasa peneroka Felda yang menyumbang kepada industri komoditi sawit dan getah negara.
Fakta angka sumbangannya kepada negara ialah pengeluaran buah tandan sawit dari ladang peneroka, Felda dan FGV sebanyak 7 juta tan yang menghasilkan minyak sawit mentah sehingga 3 juta tan setahun.
Hasil huluan ini menjadi produk hiliran makanan berasaskan sawit jenama Saji, minyak peket Cap 3 Udang serta marjerin jenama Adela, Pelangi dan banyak lagi.
Produk pengguna ini menguasai 45 peratus pasaran tempatan di mana pengeluar dan pengguna utamanya adalah Bumiputera.
Ini bermakna, 45 peratus isi rumah, restoran, hotel dan industri makanan tempatan menggunakan produk hasil daripada titik peluh peneroka.
Jika ia dinilaikan dengan ringgit, sumbangan kepada kitaran ekonomi negara dianggarkan melebihi RM50 bilion setahun termasuk produk pengguna sampingan yang dihasilkan daripada bahan sawit lain seperti sabun, kosmetik dan sebagainya.
Berdasarkan semua angka-angka ini, maka selayaknya peneroka Felda diraikan setanding dengan Hari Peladang, Hari Jururawat dan sebagainya yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara.
Sambutan Hari Peneroka pada tahun 2024 akan diraikan pada 12 hingga 14 Julai bertempat di MAEPS Serdang yang julung kalinya dijalankan selama tiga hari dengan menyasarkan kehadiran 500,000 warga peneroka Felda dan generasi baharunya.
Pemilihan lokasi ini dilihat tepat kerana lebih 60 peratus daripada tiga juta warga Felda tinggal di luar rancangan.
Sambutan kali ini adalah terbesar untuk menyantuni semua warga peneroka Felda terutama generasi dari seluruh negara berbanding sambutan sebelum ini hanya dihadiri oleh peneroka yang dibawa dari rancangan masing-masing dengan bas yang disediakan sahaja.
Kehadiran warga peneroka seramai 500,000 ini sangat penting agar kita dapat zahirkan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia bahawa warga peneroka ini adalah satu kelompok yang penting kepada negara untuk diberi perhatian.
Setelah hampir 70 tahun, kini kumpulan Felda sedang menghidap penyakit tiga serangkai bila mana Felda terus mengalami defisit, FGV rugi manakala Koperasi Permodalan Felda (KPF) dalam keadaan tenat.
Prestasi Felda jelas lemah apabila masih defisit serta gagal menterjemah dan melaksanakan pelbagai pelan pemulihan yang telah diumumkan sebelum ini walaupun dengan pelbagai bantuan dari kerajaan termasuk penyediaan dana berbilion ringgit.
FGV yang sepatutnya menjadi punca pendapatan Felda, walaupun menghasilkan produk berbilion ringgit namun prestasinya masih rugi berdasarkan laporan kewangan suku pertama 2024 berbanding syarikat swasta lain mencatat keuntungan yang lebih tinggi walaupun saiznya lebih kecil darinya.
KPF pula tertekan dengan tuntutan ahli untuk pengeluaran dividen dan pelaburan tertunggak kerana masalah aliran tunai.
Semua ini adalah kerana dasar dan fokus semasa Kumpulan Felda telah berubah ditambah dengan kelemahan pasukan pelaksana di semua peringkat pengurusan.
Warga peneroka Felda tidak mahu lagi dibuai mimpi indah melalui pengumuman billion dan jutaan ringgit oleh kerajaan ketika sambutan hari peneroka seperti tahun-tahun sebelumnya sehinggakan ada pihak menggelar Felda ibarat ‘biawak hidup’ apabila hakikatnya agenda perubahan yang digariskan kelihatan gagal di mata rakyat.
Sebaliknya warga peneroka mahukan ketegasan kerajaan untuk menilai semula dasar Kumpulan Felda dan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) agar bersesuaian dengan keadaan semasa dan terus relevan untuk sekurang-kurangnya 50 tahun akan datang tanpa mengubah tujuan asal penubuhannya.
Felda, FGV dan KPF perlu distrukturkan dengan satu hala tuju yang jelas untuk menjadi gabungan ‘caretaker’ yang diurus bersama warga peneroka tanpa bergantung kepada kerajaan seperti dahulu.
Ia boleh dicapai dengan pasukan pelaksana yang cekap serta penglibatan semua peringkat pemegang taruh antara kerajaan, Kumpulan Felda dan warga peneroka tanpa menggadaikan mana-mana kepentingan kepada pihak lain.
Ayuh warga peneroka dan generasi baharu Felda di seluruh pelusuk negara terutamanya yang berada di Lembah Klang, kita hadir Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2024 ini.
Kita jadikan sambutan kali ini sebagai satu medan himpunan untuk berukhuwah, berjejak kasih dengan rakan dan saudara-mara yang mungkin sekian lama tidak berjumpa, tunjuk rasa dan bersoladiriti dalam suasana yang ceria sambil bersuka ria dengan pelbagai aktiviti dan program yang telah direncanakan.
Kita pertahankan organisasi ini dan buktikan sebagai satu keluarga besar yang mempunyai satu persamaan ketara, darah yang mengalir ditubuhkan kita adalah darah asli peneroka Felda bercampur keringat dan air mata yang membanting tulang mengerah kudrat, berkorban demi kesenangan dan kejayaan berterusan generasi kita dan negara.
Rauzan Esa
Generasi peneroka Felda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!