Pindaan RUU Akta Penagih Dadah kaedah berkesan rawat penagih

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Menteri Dalam Negeri berkata, Pindaan Akta Penagih Dadah 1983 yang akan diperbahaskan di peringkat Parlimen pada persidangan kali ini bakal menjadi 'senjata baharu' kerajaan dalam menangani kumpulan penagih dadah di negara ini.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Menteri Dalam Negeri berkata, Pindaan Akta Penagih Dadah 1983 yang akan diperbahaskan di peringkat Parlimen pada persidangan kali ini bakal menjadi 'senjata baharu' kerajaan dalam menangani kumpulan penagih dadah di negara ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 disifatkan sebagai kaedah berkesan yang dapat merawat penagih daripada dadah dan mengelakkan mereka terlibat dengan jenayah.

Pakar Kaunseling Penagihan, Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata, dasar baharu berkenaan terhadap kumpulan terbabit bukan lagi bersifat menghukum atau pemenjaraan.

"Pindaan RUU ini disifatkan sebagai membawa semangat yang amat jelas dalam usaha menyah jenayah atau dekriminalisasi penagih dan penyalah guna dadah serta bahan.

Abd Halim
Abd Halim

"Ia turut menyediakan ruang dan peluang seluas-luasnya untuk merawat pulih daripada penagihan atau penyalahgunaan bahan terlarang itu," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, ia juga selari dengan prinsip kerajaan dan dunia menerusi United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) yang mengklasifikasikan penagih sebagai pesakit.

"RUU ini merupakan sebagai satu usaha agar semua individu terlibat dalam penyalahgunaan dadah tidak dihukum penjara tetapi diberi peluang sebagai pesakit untuk mendapat rawatan yang terbaik bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai manusia normal.

"Pindaan ini merupakan terjemahan kepada komitmen kerajaan untuk melaksanakan amalan terbaik dalam menguruskan pesakit yang mengalami masalah pergantungan kepada bahan terlarang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perancangan bagi pelaksanaan pindaan ini telah dirancang lebih awal namun proses pemindaan mengambil masa kerana ia membabitkan libat urus yang komprehensif serta menyeluruh.

"Usaha pendekriminalisasian penagih atau penyalah guna dadah telah dibincang sejak 2016 melalui pelbagai platform.

"Ia termasuk siri wacana libat urus, sumbang saran berfokus, penilaian kebolehlaksanaan, kajian lapangan dan forum yang diadakan secara terbuka dan tertutup," katanya.

Abd Halim yang juga bekas Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menegaskan tiada keraguan terhadap kemampuan pegawai AADK untuk melaksanakan kerja-kerja rawatan dan pemulihan sekiranya RUU ini diluluskan.

"Tugas pegawai AADK pada hakikinya ialah melaksanakan tugas mencegah, memulih dan menguatkuasakan undang-undang dalam bidang kuasa mereka.

"Cabaran yang dijangkakan ialah peningkatan klien atau pesakit yang tentunya memerlukan penambahan perjawatan serta naik taraf premis," katanya.

Tambahnya, pindaan RUU ini secara langsung menjadi pemangkin kepada pengiktirafan pusat pemulihan dadah persendirian (PPDP) sebagai penyedia perkhidmatan rawatan dan pemulihan yang akan menjadi rakan kongsi Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).

"Pindaan RUU ini diharap agar dapat diluluskan segera bagi membolehkan kerajaan menyelamat anak bangsa sekali gus menamatkan polemik kriminalisasi dalam kalangan pesakit.

"Setiap inisiatif mesti bermula daripada satu garis titik dan setelah kita melaksanakan, pastinya akan ada penambahbaikan dalam kita membuat pertimbangan," katanya.

Pada 26 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pindaan Akta Penagih Dadah 1983 yang akan diperbahaskan di peringkat Parlimen pada persidangan kali ini bakal menjadi 'senjata baharu' kerajaan dalam menangani kumpulan penagih dadah di negara ini.

Jelas beliau, langkah meminda akta sedia ada itu bertujuan memberi peluang kepada golongan penagih yang telah mendapat kesedaran untuk menawarkan diri menerima rawatan dan pemulihan secara sukarela.

Menurutnya, pendekatan baharu yang dilaksanakan dalam pindaan akta baharu itu mahu menjadikan individu terlibat dengan najis dadah perlu didekati sebagai klien atau pesakit, bukannya sebagai kumpulan penagih yang ditahan di penjara.

Tambahnya, jika langkah melakukan pindaan akta tersebut berjaya, ia akan memudahkan lagi usaha memulihkan golongan penagih tanpa perlu menempuhi banyak karenah birokrasi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!