Cari jalan atasi kerugian dialami Mara Inc - Ahmad Zahid

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Kumpulan Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) merekodkan kerugian terkumpul berjumlah RM286.3 juta pada tahun 2022 ekoran pelaksanaan aktiviti yang kurang cekap. Gambar kecil: Ahmad Zahid
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Kumpulan Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) merekodkan kerugian terkumpul berjumlah RM286.3 juta pada tahun 2022 ekoran pelaksanaan aktiviti yang kurang cekap. Gambar kecil: Ahmad Zahid
A
A
A

PASIR MAS - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan berusaha mencari jalan untuk mengatasi kerugian yang dialami oleh Kumpulan Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) akibat salah pelaburan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, ia supaya masalah tersebut tidak berulang lagi pada masa hadapan walaupun proses itu mengambil jangka masa lama.

"Dalam isu ini saya bukan mahu mencari salah, namun harus memperbaiki dan kita sedang berusaha.

"Ini kerana kerugian itu kerugian di atas kertas," katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Sambutan Karnival Kerjaya dan Sukan Anak Muda Madani 1.0 di Padang Sekolah Sultan Ibrahim 1 di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, perkara itu berlaku pada tahun 2012 dan ketika itu beliau belum lagi menjadi menteri.

Ahmad Zahid (dua dari kiri) menerima cenderamata selepas merasmikan Sambutan Karnival Kerjaya dan Sukan Anak Muda Madani 1.0 di Padang Sekolah Sultan Ibrahim 1 di Pasir Mas pada Sabtu.
Ahmad Zahid (dua dari kiri) menerima cenderamata selepas merasmikan Sambutan Karnival Kerjaya dan Sukan Anak Muda Madani 1.0 di Padang Sekolah Sultan Ibrahim 1 di Pasir Mas pada Sabtu.

Tegasnya, melihat kepada kerugian itu beliau sama sekali memberi jaminan perkara itu tidak akan berulang semasa KKDW berada di bawah pentadbirannya.

"Banyak sangat pelaburan melibatkan aset di luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Pembelian tujuh aset luar negara dan laporan audit mendapati ia dibeli melebihi harga pasaran," katanya.

Menurut beliau, kaedah untuk mengatasi kerugian itu adalah dengan menumpukan dan memberi fokus kepada urus niaga melalui empat aset yang telah dibeli dengan melepasi harga pasaran.

Tambahnya, aset-aset itu yang berada di Australia dan England, dari segi keboleh pasarannya telah melebihi 90 peratus.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Ketua Pengarah Mara, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf tampil menjelaskan kerugian terkumpul dialami anak syarikatnya, Mara Inc sebanyak RM286.30 juta sejak 2012 hingga 2022 sepertimana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pada Khamis lalu.

Sebahagian kerugian terkumpul itu melibatkan urusan pembelian aset luar negara khususnya di Australia dan United Kingdom (UK) antara 2012 hingga 2014.

Tindakan sewajarnya telah diambil termasuk dari aspek perundangan dan komitmen susulan oleh Mara serta syarikat bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!