[VIDEO] Beribadat di ketinggian 217m sambil nikmati keindahan alam

A
A
A

ALOR SETAR - Sekumpulan pendaki dikenali Komuniti Keriang Hill (KKH) mengambil inisiatif membina surau di puncak Gunung Keriang, di sini, yang berada di ketinggian 217 meter dari paras laut.

Wakilnya, Mohd Asri Baharom, 58, berkata, pembinaan surau terbabit membolehkan pengunjung menunaikan ibadah dengan selesa dan tenang selepas melakukan aktiviti mendaki gunung.

Beliau berkata, usaha terbabit dilakukan secara gotong-royong demi mempromosikan keindahan alam semula jadi, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung ke Gunung Keriang.


Mohd Asri Baharom
Mohd Asri Baharom

"Hasrat KKH membina surau untuk kemudahan dan keselesaan pendaki telah lama, sebelum ia mula direalisasikan bermula awal Jun lepas.

"Kami mula membawa naik barang pembinaan seperti besi dan kayu sebelum melakukan gotong-royong menyiapkan surau tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kaki gunung, di sini, pada Sabtu.

Beliau yang bekerja sebagai pembantu pustakawan di Perpustakaan Awam Negeri Kedah berkata, hasil kerjasama ahli tanpa mengira panas dan hujan membolehkan surau kecil berjaya disiapkan dalam tempoh masa kurang sebulan.

Artikel Berkaitan:


Keadaan surau di puncak Gunung Keriang.
Keadaan surau di puncak Gunung Keriang.

"Hujan macam mana sekali pun kami tetapi bergerak kerana kami ingin menyiapkan surau ini secepat mungkin bagi membolehkan pengunjung menggunakan kemudahan itu," katanya.

Menurut beliau, surau dibina hasil kerja pertukangan, dan sumbangan wang tunai serta barang keperluan daripada ahli dan orang ramai kini boleh menempatkan seramai 10 orang dalam satu-satu masa.

Dalam perkembangan sama, kongsi Mohd Asri, kelab ditubuhkan pada 2019 itu kini mempunyai 63 ahli terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya jurugambar, doktor, pesara dan pelajar.


Pengunjung boleh beribadat dengan selesa.
Pengunjung boleh beribadat dengan selesa.

"Pada peringkat awal, kami semua tidak kenal satu sama lain dan hanya bertegur sapa ketika mendaki Gunung Keriang.

"Tetapi, apabila kerap terserempak kami mula mengenali dengan lebih rapat dan dari situlah kelab ini tertubuh dan mula bergiat aktif dan melakukan beberapa aktiviti termasuklah membersihkan kawasan puncak gunung dan gotong-royong membina surau ini," katanya.

Beliau berkata, usaha KKH membersihkan semak bagi membolehkan pengunjung menikmati keindahan pemandangan membuahkan hasil apabila lokasi tersebut makin tular dan jumlah pengunjung meningkat.


Ahli KKH bergotong-royong membina surau di puncak Gunung Keriang.
Ahli KKH bergotong-royong membina surau di puncak Gunung Keriang.

"Melihat kepada jumlah pengunjung yang semakin bertambah, maka kami kemudiannya mengambil inisiatif membina surau ini untuk kemudahan semua," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap, pengunjung yang melakukan aktiviti riadah dan mendaki Gunung Keriang dapat memanfaatkan kemudahan disediakan dan menjaga kebersihan surau tersebut.

"Jangan buat kotor (dan) jikalau boleh, janganlah makanan atau minum di sini bagi memastikan kebersihan surau terjaga untuk pengunjung beribadah," katanya.


Ahli KKH bergambar di surau dibina mereka di puncak Gunung Keriang.
Ahli KKH bergambar di surau dibina mereka di puncak Gunung Keriang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!