'Salah laku MPN tidak wakili komuniti profesor dalam negara' - Profesor G70
SHAH ALAM - Segala kesalahan dan salah laku tadbir urus Majlis Profesor Negara (MPN) menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 4 Julai lalu sama sekali tidak mewakili nilai komuniti kumpulan profesor dalam negara.
Kumpulan Profesor G70 dalam satu kenyataan berkata, pendedahan mengenai kepincangan sesuatu entiti menggunakan nama 'Profesor' mampu memberikan persepsi negatif terhadap ribuan ahli akademik yang tiada kena-mengena dengan MPN.
Menurut kenyataan itu, MPN adalah sebuah syarikat berhad dengan jaminan yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan bukan persatuan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
"Oleh itu, ia bukanlah sebuah organisasi masyarakat sivil yang mendapat mandat untuk mewakili kelompok ilmuwan bertaraf profesor secara mutlak.
"Maka, kami menggesa Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil maklum bahawa kesalahan yang dikenal pasti menerusi laporan tersebut sama sekali tidak mewakili nilai komuniti profesor dalam negara," katanya pada Sabtu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Jabatan Ketua Audit Negara menerusi laporan yang menumpukan audit untuk aktiviti dari 2019 hingga 2023 mendapati MPN didakwa menyalahgunakan pembiayaan kewangan.
Ia termasuk membayar elaun besar RM207,000 kepada pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tanpa kelulusan menteri.
Selain itu, juruaudit mendapati bahawa RM373,516 dana MPN digunakan untuk membayar operasi dua syarikat milik ahli lembaga pemegang amanah.
Kumpulan Profesor G70 memaklumkan, MPN pernah menghantar surat kepada pemegang jawatan profesor dan profesor madya di universiti seluruh negara bahawa setiap daripada mereka tidak kira institusi pendidikan awam atau swasta (termasuk yang telah bersara) secara automatik menjadi ahli MPN.
Tambahnya, ia jelas bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.
"Tiada siapa boleh dipaksa menjadi ahli mana-mana organisasi tanpa kerelaannya.
"Kami, Profesor G70 adalah barisan profesor dan ilmuwan pelbagai bidang yang menyokong prinsip Deklarasi 16 November 2022.
"Termasuklah memastikan negara memiliki sebuah kerajaan yang teguh, amanah dan bertanggungjawab terhadap masa depan rakyat bahkan menyokong perpaduan nasional serta keadilan masyarakat," ujar kenyataan terbabit.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!