Malaysia mahu kekal 10 terbaik dalam Indeks Keamanan Global

Saifuddin bercakap pada sidang media selepas Larian Hari Polis 'Community Safety Run' sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Dataran Putrajaya pada Sabtu. Foto Bernama
Saifuddin bercakap pada sidang media selepas Larian Hari Polis 'Community Safety Run' sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Dataran Putrajaya pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia meletakkan sasaran untuk mengekalkan kedudukan tempat ke-10 sebagai antara negara paling aman di dunia dalam Indeks Keamanan Global (GPI) pada tahun depan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan pelbagai usaha bagi mencapai sasaran itu.

"Kami unjurkan mengekalkan kedudukan 10 terbaik dan pihak polis akan telitikan semua petunjuk yang memberi pemberat kepada bacaan indeks tersebut.

"Ia bukan sahaja polis tetapi semua pemegang taruh di Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Larian Hari Polis di sini pada Sabtu.

Saifuddin Nasution berkata, kedudukan dalam GPI penting dan perlu diberi perhatian kerana soal keamanan menjadi galakkan untuk pelabur datang ke Malaysia.

"Penting kita bagi perhatian (GPI), sebab para pelabur melihat indeks seperti ini sebelum dia nak datang (labur) wang mereka bernilai berbilion, dia nak tahu jaminan keamanan dan ketenteraman awam.

"Ia jadi satu petunjuk penting untuk segmen pelaburannya, kerana banyak pihak menyumbang kepada peningkatan prestasi dalam GPI,” katanya.

Media pada 15 Jun lepas melaporkan Malaysia telah naik sembilan anak tangga dalam GPI 2024 untuk menduduki tempat ke-10 sebagai antara negara paling aman di dunia.

Artikel Berkaitan:

Menurut GPI 2024 yang dikeluarkan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP), keputusan itu adalah di tengah-tengah kemerosotan tahap purata keamanan global yang menyaksikan penurunan sebanyak 0.56 peratus dan ini merupakan tahun kelima berturut-turut ia merosot.

Malaysia berada di kedudukan ke-19 dalam laporan GPI 2023. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!