'Jangan biar presiden pilihkan calon'

Johari (dua dari kanan) turut menyumbang bagi Tabung Wisma UMNO Bahagian Bukit Gantang selepas menyempurnakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang kali ke-36 Tahun 2024 di sebuah hotel pada Sabtu.
Johari (dua dari kanan) turut menyumbang bagi Tabung Wisma UMNO Bahagian Bukit Gantang selepas menyempurnakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang kali ke-36 Tahun 2024 di sebuah hotel pada Sabtu.
A
A
A

TAIPING - Jawatankuasa UMNO Bahagian diminta segera mengenal pasti calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi memudahkan persiapan dibuat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tindakan tersebut penting bagi memastikan calon melaksanakan gerak kerja lebih awal dan dikenali masyarakat.

Menurutnya, selain itu gerak kerja UMNO juga mesti berubah dalam memastikan kemenangan kembali diperoleh.

"Carilah pemimpin dalam kawasan Parlimen, DUN (Dewan Undangan Negeri) yang berpotensi, bukan dua minggu pencalonan baru hendak terkial-kial bagi calon. Ini mengarut punya kerja.

"Siapa nak jadi calon dari sekarang ini kita kena pilih calon. Calon ini mesti dipilih oleh UMNO Bahagian bukan Presiden UMNO yang pilihkan. Kalau asyik bergasak tidak buat keputusan, Presiden yang akan buat keputusan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang kali ke-36 Tahun 2024 di sebuah hotel dekat sini pada Sabtu.

Johari berkata, UMNO perlu belajar bekerja seperti pembangkang di kawasan yang tewas pada PRU lalu.

Katanya, rakyat perlu melihat pemimpin yang mereka pilih itu berkhidmat dan peranan pembangkang.

Menurutnya, pemimpin UMNO perlu mendesak wakil rakyat yang dipilih untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Johari menegaskan pimpinan di peringkat bahagian perlu berhenti bertelagah dalam memilih calon.

"Jangan bergaduh (pilih calon). Apabila bergaduh maka akhirnya (nama calon) pergi ke UMNO pusat untuk buat keputusan yang kemungkinan tersilap pilih.

"Kalau kita kat bawah ini sudah bergasak macam mana masyarakat hendak menyokong kita, itu yang saya tekankan. Kita nampak perebutan itu berlaku walaupun UMNO telah kalah," katanya.

Beliau berkata, perlu ada kombinasi di antara parti, calon dan jentera bagi memastikan kemenangan dicapai.

Dalam perkembangan lain, Johari berkata, bekas pemimpin yang keluar parti boleh kembali menyertai UMNO sebagai ahli biasa termasuklah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Katanya, mana-mana individu perlu melalui prosedur ditetapkan untuk kembali menjadi ahli UMNO.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!