PM arah menteri, pegawai kanan kerajaan serius pantau situasi kampung

Anwar berucap pada Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat Madani Peringkat Kebangsaan 2024 di Kampung Chengal Lempong pada Sabtu. Foto Bernama
Anwar berucap pada Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat Madani Peringkat Kebangsaan 2024 di Kampung Chengal Lempong pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) supaya mengambil serius tanggungjawab mereka memantau situasi kampung di seluruh negara demi melengkapkan lagi kesejahteraan hidup penduduk di kawasan itu.

Turut diarahkan Anwar berbuat demikian ialah ketua-ketua setiausaha kementerian serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Anwar beramah mesra dengan hadirin ketika hadir pada Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat Madani Peringkat Kebangsaan 2024 di Kampung Chengal Lempong pada Sabtu. Foto Bernama
Anwar beramah mesra dengan hadirin ketika hadir pada Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat Madani Peringkat Kebangsaan 2024 di Kampung Chengal Lempong pada Sabtu. Foto Bernama

Beliau berkata, arahan itu tidak bermaksud pihak berkenaan perlu membuat pemantauan setiap hari, tetapi cukup sama ada sebulan atau dua bulan sekali untuk memastikan pembangunan kampung tidak terpinggir kerana pembangunan tidak boleh ditumpukan pada kawasan bandar sahaja.

"(Kita) ada jentera kerajaan, betul, tetapi kadang-kadang tak sampai maklumat. Arahan kita, dalam Kampung Angkat Madani termasuk PM (Perdana Menteri), Menteri, KSN, KSU (Ketua Setiausaha) kementerian dan semua pegawai kanan mesti pilih kampung asal atau mana-mana kampung lain untuk dijadikan kampung angkat.

"Sebab apa? Semua ada teori masing-masing, cakap tentang ekonomi, sosial, masalah kesihatan, pendidikan, bagaimana nak ukur berjaya atau tidak? Kita ukur dari peringkat bawah. Maknanya, kalau nak tahu (teori masing-masing) berjaya atau tidak, turun ke kampung, tengok masalah kesihatan, pendidikan, soal keciciran, sakit mental," kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Kampung Chengal Lempong, Balok di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tindakan turun ke kampung telah dilakukannya sejak beberapa bulan lepas dan mesyuarat turut dibuat untuk mengetahui masalah di kampungnya di Cherok Tok Kun, Pulau Pinang.

"Saya lahir di Sungai Bakap, tapi umur lima tahun pindah ke Bukit Mertajam dan Cherok Tok Kun, saya membesar di Cherok Tok Kun, jadi saya pilih Cherok Tok Kun. Saya panggil imam, guru besar, guru-guru tengok masalah keciciran ... kenapa anak ini berhenti," kata beliau.

Menyentuh mengenai peluncuran Kampung Chengal Lempong sebagai Kampung Angkat Madani peringkat kebangsaan serta beberapa kampung yang telah dipilih sebagai Kampung Angkat Madani sebelum ini, Anwar berkata, ia juga merupakan satu cara kerajaan untuk menilai keberkesanan dasar yang diumumkan kerajaan.

Beliau berkata, ada kalanya dasar hebat yang diumumkan kerajaan belum dapat difahami sepenuhnya oleh rakyat, namun masalah seperti itu dapat diatasi jika pemimpin dan pegawai kanan kerajaan turun ke peringkat akar umbi membuat penjelasan.

Dalam majlis itu juga, Anwar turut menyampaikan sumbangan berupa geran RM100,000 masing-masing kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Persatuan Penduduk Kampung Chengal Lempong.

Anwar turut menyampaikan sumbangan kepada 1,000 asnaf di Parlimen Indera Mahkota dan 401 nelayan di sini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!