RM500 juta agihan zakat di Wilayah Persekutuan sejak Januari

Mohd Na'im (kiri) menziarahi adik Azriel Mifzal yang sakit terlantar akibat menghidap saraf genetik sejak lahir.
Mohd Na'im (kiri) menziarahi adik Azriel Mifzal yang sakit terlantar akibat menghidap saraf genetik sejak lahir.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak RM500 juta agihan zakat telah disalurkan kepada 27,000 asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sejak awal tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, selain penyaluran bantuan itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut mengadakan program berbentuk keusahawanan dan pendidikan bagi pemerkasaan asnaf untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.

Menurutnya, sukarelawan Jejak Asnaf juga giat turun padang bagi menjejaki golongan yang mungkin tercicir atau terlepas pandang menerima bantuan.

Mohd Na'im
Mohd Na'im

"Saban tahun angka asnaf ini sentiasa berubah-ubah kerana bergantung kepada situasi, ada dalam keadaan tertentu terdapat keluarga yang kaya tiba-tiba jatuh muflis.

"Apa yang penting MAIWP akan turun padang menjejaki asnaf. Saya juga harap agar orang awam mempunyai tanggungjawab untuk menyalurkan maklumat kepada MAIWP jika terdapat kejiranan susah yang memerlukan bantuan," katanya ditemui pada Program Ziarah Asnaf di tiga rumah penerima bantuan sekitar Putrajaya pada Sabtu.

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mohd Nizam Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman.

Pada program itu beliau telah menziarahi adik Azriel Mifzal Mohd Hafiz, enam tahun yang menghidap masalah saraf genetik.

Artikel Berkaitan:

Adik ini menerima bantuan keseluruhan berjumlah RM6, 171 bagi perubatan am meliputi pembelian susu dan lampin pakai buang selama setahun.

Mohd Na'im turut menziarahi penerima bantuan perubatan MAIWP Rozelan Abdul Razak, 45, serta Jamaliah Selamat, 70, yang menghidap strok dan sakit terlantar.

Beliau berkata, program ziarah asnaf itu bertujuan memberikan sokongan moral dan motivasi kepada penerima bantuan untuk terus cekal menghadapi ujian hidup.

Pada masa sama katanya, beliau merakamkan penghargaan kepada pembayar zakat yang telah menunaikan kewajipan dengan jumlah kutipan diperoleh itu digunakan untuk membantu asnaf yang memerlukan di Wilayah Persekutuan.

"Saya juga mengajak lebih ramai menunaikan kewajipan berzakat khususnya bagi mereka yang layak berzakat tapi belum berbuat demikian.

"Yakinlah dengan institusi zakat. Saya dan pengurusan MAIWP akan memastikan sumbangan zakat ini digunakan untuk sampaikan golongan asnaf memerlukan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!