Gastropoda: Patuhi arahan JPNJ, elak aktiviti di air

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

JOHOR BAHRU – Orang ramai diminta mematuhi arahan daripada Jabatan Perikanan Negeri Johor (JPNJ) agar tidak melakukan aktiviti-aktiviti berkaitan air, terutamanya di perairan sekitar Mersing susulan kehadiran organisma akuatik dikenali sebagai Gastropoda ketika ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Johor, Ling Tian Soon berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, organisma tersebut agak berbahaya kerana memiliki sengat yang boleh mengakibatkan kemudaratan kepada manusia.

“Ya, setakat ini kita nasihatkan kepada orang ramai untuk tidak melakukan aktiviti-aktiviti air susulan kehadiran organisma akuatik ini.

“Perkara seperti ini pernah berlaku sebelum ini, tetapi kali ini ia dilihat lebih serius kerana kehadiran organisma ini agak ‘banyak,’ terutamanya di perairan sekitar Mersing.

“Oleh itu, buat masa ini kita berharap orang ramai dapat mematuhi arahan yang telah dikeluarkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Untuk rekod, kehadiran organisma akuatik itu dikesan pasukan penyelidik dari Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung, 11 Jun lalu di kepulauan Mersing.

Susulan itu, pihak Jabatan Perikanan Negeri Johor, telah mengeluarkan kenyataan bahawa Gastropoda yang juga dikenali dengan nama Petropoda merupakan organisma akuatik yang berbahaya kerana boleh memberi mudarat kepada manusia.

Sementara itu, Tian Soon menafikan bahawa kehadiran organisma berkenaan ada kaitannya dengan tumpahan minyak yang berlaku akibat perlanggaran kapal tangki minyak di Terminal Pasir Panjang, Singapura, Jun lalu yang turut mecemarkan kawasan perairan sempadan Malaysia-Singapura.

Artikel Berkaitan:

Katanya, berdasarkan maklumat, organisma tersebut dipercayai datang dari perairan tropika turut terkesan dengan peningkatan suhu air di laut pada waktu perubahan iklim ketika ini.

“Bagi isu tumpahan minyak dengan kehadiran organisma ini sememangnya tiada kaitan antara satu sama lain...isu tumpahan minyak itu dah pun kita bersihkan dan tidak lama lagi kerja-kerja pembersihan itu akan selesai.

“Berbeza dengan organisma Pertropoda yang dipercayai tidak dapat hidup dengan peningkatan suhu di laut, sehingga perlu mencari tempat yang lebih bersesuaian,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!