Biden umum kekal tanding, yakin mampu kalahkan Trump

Biden, Trump
Biden, Trump
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, pada Jumaat menegaskan bahawa beliau tidak akan menarik diri daripada bertanding untuk penggal kedua, meskipun semakin banyak gesaan agar beliau berundur selepas prestasi debat yang kontroversi menentang pencabarnya dari Parti Republikan, Donald Trump, lapor Agensi Berita Jerman dpa.

"Biar saya katakan dengan sejelas mungkin, saya kekal dalam pertandingan ini. Saya akan kalahkan Donald Trump," tegasnya kepada kumpulan penyokong yang bersorak dalam satu acara kempen di negeri Wisconsin.

Tekanan terhadap Biden untuk berundur sebagai calon Presiden Demokrat 2024 semakin meningkat daripada kalangan partinya sejak beliau berdepan dengan Trump dalam debat yang disiarkan selama 90 minit pada 27 Jun lepas.

Dalam perdebatan itu, Biden yang suaranya kedengaran serak, tergagap-gagap dalam menyusun ayat, kelihatan kehilangan tumpuan dan sering bergelut untuk menyampaikan hujahnya.

Kesan negatifnya cepat dan hebat apabila para penganalisis politik mengisytiharkan kempen Biden berada dalam masalah besar. Dalam beberapa hari sejak itu, Demokrat berada dalam keadaan krisis berikutan tinjauan pendapat baharu menunjukkan Biden, 81 tahun, semakin kehilangan sokongan kepada Trump, 78 tahun.

"Saya belajar sejak lama dahulu, apabila anda jatuh, anda bangun semula," kata Biden di perhimpunan di Madison, Wisconsin.

"Saya tidak akan membiarkan satu debat 90 minit menghapuskan kerja selama tiga setengah tahun."

"Biar saya tanya anda: Anda fikir saya terlalu tua untuk mengalahkan Donald Trump?" tanya Biden, yang merupakan presiden tertua dalam sejarah AS, bertanya kepada penyokong yang bersorak.

"Tidak!" mereka berteriak kembali.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak sabar menunggu," kata presiden itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!