Perolehan pesawat Hornet Kuwait belum diputuskan - Adly

Adly (tengah) melawat reruai jualan usahawan pada Program Pemerkasaan Keusahawanan Veteran Angkatan Tentera Malaysia di Kamunting pada Sabtu. Foto Bernama
Adly (tengah) melawat reruai jualan usahawan pada Program Pemerkasaan Keusahawanan Veteran Angkatan Tentera Malaysia di Kamunting pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

TAIPING - Perolehan pesawat tempur F/A-18D (Hornet) dari Kuwait bergantung kepada laporan penilaian pasukan teknikal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pasukan teknikal tersebut sudah pun kembali dari Kuwait selepas membuat penilaian berkenaan.

Menurutnya, sebarang keputusan mengenai perkara tersebut bergantung kepada laporan yang akan diberikan oleh pasukan teknikal berkenaan.

"Jadi keputusan kita sama ada kita hendak buat perolehan dan sebagainya mengambil kira banyak faktor lagi. Tetapi secara asasnya kumpulan teknikal melalui TUDM itu sudah ke kuwait dan sudah kembali dari kuwait. Kita sedang tunggu laporan daripada kumpulan teknikal.

"Kita akan buat keputusan berdasarkan kepada laporan teknikal dan keperluan pertahanan negara terutamanya dalam aspek TUDM itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera (ATM) di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Pada 11 Mei lalu media melaporkan TUDM akan mengadakan lawatan ke Kuwait bagi berunding mengenai perolehan pesawat tempur F/A-18D (Hornet).

Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, lawatan itu adalah untuk membincangkan mengenai perancangan memperoleh pesawat milik Tentera Udara Kuwait yang masih dalam keadaan baik dan mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.

Pada Jun tahun lepas, Kuwait dilaporkan memohon kepada Amerika Syarikat untuk menyelenggara dan menaik taraf pesawat Hornet miliknya bernilai AS$1.8 bilion (RM8.5 bilion) disebabkan penghantaran Super Hornet berdepan kelewatan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Adly berkata, pihaknya sedang mengikuti secara dekat situasi semasa di Lubnan.

Menurutnya, sebarang pilihan termasuk membawa pulang anggota Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di negara tersebut akan dipertimbangkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!