Anak saudara Siti Nurhaliza harumkan nama Malaysia di WCOPA
ANAK saudara penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza, Ummi Umairah Saiful Anuar, mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila memenangi pingat emas pada pertandingan World Championships of Performing Arts (WCOPA) ke-27 di Long Beach Performing Arts Center, California, Amerika Syarikat, pagi tadi.
Ummi Umairah,13, yang lebih mesra disapa Umai, memenangi pingat itu menerusi kategori 2024 Junior Championship Vocalist dengan menewaskan empat peserta lain termasuk dari Emiriah Arab Bersatu dan Afrika Selatan.
Pada pentas final tersebut, Umai mempertaruhkan lagu A Natural Woman nyanyian asal Aretha Franklin.
Berita kejayaan itu dikongsikan oleh Umai di Instagram miliknya, @umairah_sairahtarudin.
"Kemenangan ini untuk korang (anda) semua. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat,” tulis anak kepada penyanyi Siti Saerah itu.
Sementara itu, Siti Nurhaliza turut berkongsi video nyanyian Umai berserta kapsyen "berserah" selain turut meninggalkan komen di Instagram milik Umai.
"Tahniah Umai! Berjaya bawa pulang emas dan mengharumkan nama Malaysia,” katanya ringkas dalam video berdurasi lebih kurang seminit itu.
Terdahulu, pada saringan pertama, Umai bersaing dalam lima kategori, iaitu Kontemporari, Terbuka, R&B, World dan Variety sebelum berentap di peringkat separuh akhir menerusi kategori R&B Yang seterusnya membawa remaja ini ke peringkat akhir bagi kategori 13 hingga 15 tahun. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!