Hanya 16 peratus rakyat Pahang berpandangan kewangan perlu dirancang

Adnan Zaylani berucap pada Majlis Pelancaran Karnival Celik Kewangan di East Coast Mall, di Kuantan pada Sabtu.
Adnan Zaylani berucap pada Majlis Pelancaran Karnival Celik Kewangan di East Coast Mall, di Kuantan pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Hanya 16 peratus rakyat Pahang berpendapat bahawa kewangan perlu dirancang dengan berhemah.

Timbalan Gabenor, Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Ahmad Zahid berkata, dapatan itu diperoleh hasil kaji selidik keupayaan dan rangkuman kewangan 2021.

Menurutnya, perspektif sebegini menyumbang kepada kurangnya penampan kewangan dan orang ramai mendapati sukar untuk menyediakan wang RM1,000 dalam situasi kecemasan.

"Keupayaan membuat keputusan kewangan dengan bijak dan mempunyai wang kecemasan dapat meningkatkan pendapatan serta simpanan secara beransur-ansur.

"Langkah-langkah seperti mengamalkan bajet bulanan, mengelak pembelian tidak perlu, berikhtiar mengurangkan hutang, menabung untuk kecemasan, memulakan pelaburan selamat dan berniaga secara sambilan mampu menyumbang ke arah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Karnival Celik Kewangan di East Coast Mall, di sini pada Sabtu.

Adnan Zaylani memaklumkan inisiatif pendidikan kewangan secara terancang dilaksanakan oleh pihaknya sejak tahun 2000.

Jelasnya, bagaimanapun, pada peringkat awal, ia menjurus kepada kesedaran tentang produk dan perkhidmatan kewangan dan seterusnya memperkasakan pengurusan kewangan, melalui penubuhan BNMLINK dan Agensi Kredit dan Perkhidmatan Kaunseling ( AKPK).

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, penubuhan Jaringan Pendidikan Kewangan ( FEN) pada 2016, telah melonjakkan inisiatif pendidikan kewangan di seluruh negara melalui platform bersepadu yang melibatkan lapan agensi.

"FEN telah menggubal strategi literasi kewangan kebangsaan yang melakar inisiatif pendidikan kewangan secara lebih sistematik dan holistik.

"Kini penerapan mesej pendidikan kewangan telah dijalankan di semua peringkat sekolah sebagai sebahagian daripada kurikulum persekolahan kebangsaan secara lengkap, daripada peringkat prasekolah hingga sekolah menengah, hasil kerjasama erat bersama KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia)," katanya.

Dalam pada itu, Adnan Zaylani memberitahu FEN kini menumpukan usaha untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan belia di seluruh negara.

Menurutnya, bagi tujuan ini, BNM telah melaksanakan kaji selidik keupayaan dan rangkuman kewangan setiap tiga tahun bagi menilai tahap keupayaan kewangan rakyat Malaysia, termasuk belia.

Jelasnya, kaji selidik tahun 2021 mendapati bahawa kegagalan membuat keputusan kewangan yang baik di usia muda, boleh mengakibatkan masalah kewangan jangka panjang, memandangkan komitmen kewangan yang semakin bertambah ketika meningkat dewasa.

Sehubungan dengan ini, suatu program pendidikan kewangan secara dalam talian, FEN PROAKTIF telah dibangunkan.

"Program ini menyasarkan pelajar tahun akhir institusi pendidikan tinggi, untuk menyediakan belia dengan ilmu pengurusan kewangan pada beberapa tahun pertama bekerja.

"Besarlah, harapan kami jika semua institusi pendidikan tinggi seluruh negara amnya, dan di Pahang khususnya, dapat menggalakkan pelajar-pelajar tahun akhir mereka menjalani program ini," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!