Op Tahun Baru Cina: Lima ditahan bawa dadah
KEPALA BATAS - Seramai lima individu ditahan bersama dadah dalam Op Tahun Baru Cina yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara semalam.
Ketua Polis Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, operasi yang bermula jam 10 malam dan berakhir jam 4 pagi itu melibatkan 17 pegawai, 121 anggota dan 16 anggota Sukarelawan Simpanan Polis dari beberapa cawangan serta bahagian.
Menurutnya, dalam operasi itu sebanyak 307 buah kenderaan diperiksa dan 36 saman dikeluarkan.
"Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik SPU menahan lima orang iaitu tiga lelaki dan dua wanita yang membawa 0.5 gram heroin dan 0.7 gram syabu. Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama.
"Selain itu, Cawangan Kongsi Gelap, Judi Dan Maksiat (D7) juga menahan seorang lelaki mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.
Noorzainy berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik SPU yang menjadikan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) sebagai lokasi tumpuan untuk Op Mabuk telah memeriksa 83 individu dan 80 kenderaan.
"Operasi bermula jam 11 malam hingga 6 pagi itu juga mengeluarkan 43 saman ke atas pelbagai kesalahan trafik. Seorang lelaki ditahan mengikut Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
"Operasi yang dilaksanakan di seluruh kawasan SPU ini bertujuan untuk mengekang masalah jenayah pecah rumah yang berlaku apabila kebanyakan masyarakat meninggalkan kediaman masing-masing untuk pulang beraya di kampung," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!