Penghantar makanan dicekup terlibat edar dadah

Antara dadah yang dirampas dalam serbuan dijalankan pada Jumaat.
Antara dadah yang dirampas dalam serbuan dijalankan pada Jumaat.
A
A
A

SEPANG - Penghantar makanan antara dua individu diberkas dalam tangkapan dan serbuan di dua buah rumah melibatkan sindiket pengedaran dadah sekitar daerah ini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, hasil risikan dan maklumat dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang menahan kedua-dua suspek dalam sebuah kereta.

"Siasatan mendapati kedua-dua suspek merupakan lelaki warga tempatan berumur 23 dan 29 tahun.

"Selain itu, maklumat berdasarkan siasatan mendapati kedua-dua suspek ini terlibat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ganja sekitar daerah ini," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, susulan soal siasat dijalankan kemudian membawa kepada serbuan di sebuah rumah di kawasan Cyberjaya, Sepang.

"Pemeriksaan dijalankan di lokasi berkenaan menemui lapan bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi daun kering disyaki ganja seberat lebih lapan kilogram.

"Semakan susulan rampasan dalam serbuan ini mendapati dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM24,979.80," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, satu lagi serbuan kemudiannya dijalankan di sebuah lagi rumah di kawasan Dengkil.

"Pemeriksaan menerusi serbuan ini menemui satu balang mengandungi ketulan mampat daun kering juga disyaki dadah jenis ganja.

"Dadah yang ditemui ini seberat 64 gram dan bernilai RM1,920," katanya.

Wan Kamarul Azran berkata, saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis THC.

"Semakan dijalankan terhadap kedua-dua suspek mendapati masing-masing bekerja sebagai penghantar makanan dan peniaga serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Semakan berdasarkan keseluruhan dadah dirampas bernilai RM26,899.80," katanya.

Tambahnya, kedua-dua suspek direman tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

"Siasatan berkaitan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 39B/39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!