PKR hormati keputusan pengundi Sungai Bakap - Nurul Izzah

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar bercakap pada sidang media selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap di Bilik Gerakan Utama Perpaduan Sungai Bakap malam ini. Foto Bernama
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar bercakap pada sidang media selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap di Bilik Gerakan Utama Perpaduan Sungai Bakap malam ini. Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh warga Sungai Bakap.

Pengerusi Majlis Pimpian negeri, Nurul Izzah Anwar berkata, kekalahan ini diambil dengan penuh tanggungjawab sebagai isyarat untuk terus bermuhasabah dan mengingatkan pemimpin supaya tidak boleh terlalu selesa, serta kerja-kerja untuk meyakinkan rakyat tidak boleh terhenti.

"Saya mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada pengundi-pengundi yang telah memilih Pakatan Harapan (PH), dan tidak dilupakan pasukan jentera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) yang telah bertungkus-lumus membantu tanpa lelah sepanjang tempoh berkempen.

"Sementara menghormati pilihan rakyat Sungai Bakap, yang mendukacitakan adalah kewujudan serangan perkauman sempit dan fitnah jahat yang dilempar pihak lawan bagi mempengaruhi sentimen PRK," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Sabtu.

Naib Presiden PKR itu berkata, pihaknya harus berusaha bagi membawa kembali perdebatan, penerangan serta usaha penyelesaian yang tertumpu kepada isu-isu pokok seperti kebajikan rakyat, pendidikan anak-anak, pembangunan infrastruktur serta kelangsungan hidup yang mengimbangkan keperluan seberang dan juga pulau.

"Keputusan ini kami sahut sebagai sebuah tekad bermuhasabah dan melakukan perubahan demi masa depan Pulau Pinang dan Malaysia yang lebih baik," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!