Penurunan peratus keluar mengundi faktor calon PH tewas - Kon Yeow

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bercakap pada sidang media selepas menyaksikan siaran secara langsung keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap N.20 di Bukit Jawi Golf Resort malam ini. - Foto Bernama
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bercakap pada sidang media selepas menyaksikan siaran secara langsung keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap N.20 di Bukit Jawi Golf Resort malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina dan India yang merosot antara 10 hingga 13 peratus adalah antara faktor kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap hari ini.

Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, kekurangan peratusan itu menyebabkan PH kehilangan pengundi Cina dan India yang ketara jika dibandingkan semasa Pilihan Raya Negeri pada Ogos tahun lepas.

"Kekurangan peratusan ini sedikit sebanyak menyebabkan kita hilang 1,000 hingga 2,000 undi. Kita jangkakan 65 peratus yang akan keluar mengundi (namun sebaliknya berlaku),” katanya kepada pemberita di Bukit Jawi Gold Resort di sini malam ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid yang juga Pengarah Pilihan Raya PH bagi PRK DUN Sungai Bakap dan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek.

Chow, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, melihat penolakan rakyat berhubung isu di peringkat nasional, negeri dan setempat turut menyumbang kepada kurangnya keyakinan pengundi terhadap cara kerajaan menyelesaikan isu terbabit yang menjadi kegusaran rakyat selama ini.

Beliau juga berkata, PH akan melakukan pascanilai susulan kekalahan gabungan politik itu pada PRK berkenaan termasuk meneliti semula gerak kerja kempen Kerajaan Perpaduan sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

"Kerajaan negeri akan tetap komited menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh pengundi di Sungai Bakap. Kita tidak akan mengetepikan rakyat yang memerlukan bantuan walaupun kita tidak dapat memenangi balik kerusi ini.

"Sebarang pendirian dan keputusan politik rakyat kita juga adalah keutamaan kami sebagai kerajaan negeri lebih-lebih lagi Ahli Parlimen kita kekal di kawasan ini dan kita akan teruskan usaha menangani isu yang dibangkitkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada PRK itu, Perikatan Nasional mengekalkan status quo di Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi setelah menewaskan calon PH Dr Joohari Ariffin.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!