Kemenangan PN isyarat penolakan rakyat terhadap kegagalan PH-BN

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap jelas menunjukkan isyarat penolakan rakyat terhadap kegagalan pemerintahan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia disebabkan kerajaan gagal mengurus ekonomi dan membela kebajikan rakyat tanpa mengira lapisan umur serta bangsa.

“Keputusan PRK ini adalah isyarat penolakan rakyat terhadap kegagalan PH-BN menguruskan ekonomi dan membela kebajikan rakyat, tanpa mengira lapisan umur dan bangsa.

“Alhamdulillah, syukur dan tahniah kepada pengundi atas kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Sungai Bakap dengan majoriti yang lebih tinggi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

PN berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya Abidin Ismail menang dalam PRK kawasan itu dengan majoriti 4,267 undi.

Bekas eksekutif lojistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan pencabarnya calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang meraih 10,222 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK Sungai Bakap, Khairulnizam Hashim di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna Jawi, pada Sabtu.

Selain itu, Abdul Hadi berkata, kemenangan itu sangat bermakna buat parti tersebut yang bertanding di padang tidak sama rata, dicemari proses demokrasi yang tempang dan rasuah politik berleluasa.

Artikel Berkaitan:

“Terima kasih kepada seluruh jentera PN Pulau Pinang dan jentera negeri-negeri yang bekerja keras bagi memastikan kemenangan di Sungai Bakap,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!