Duri hitam paling mahal di pasaran tempatan

Foto hiasan. Gambar kecil: NICKY
Foto hiasan. Gambar kecil: NICKY
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Harga durian duri hitam dalam pasaran tempatan ketika ini meningkat kepada RM60 ke atas berbanding musim lalu iaitu RM55 sekilogram susulan fenomena El Nino.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Tanaman Industri Daerah Raub, Nicky Koh Kuan Heng berkata, keadaan cuaca sepanjang musim Mei hingga Julai yang tidak menentu juga memberikan kesan kepada kualiti durian berkenaan.

Menurutnya, ia diikuti harga musang king yang dijual pada RM50 sekilogram berbanding RM45 musim lalu, menjadikan duri hitam merupakan jenis durian paling mahal di pasaran tempatan ketika ini.

“Musim pendek melibatkan bulan Mei hingga Julai, kita lihat saiz durian yang jatuh itu kecil. Buah pun tidak banyak, satu pokok mungkin dalam 30 atau 50 biji sahaja.

“Bukan semua pokok ada durian, dalam 10 pokok hanya tiga atau empat pokok sahaja ada buah. Buah pun tak banyak.

“Selain itu, durian yang jatuh pada musim itu juga kualitinya tidak stabil,” katanya.

Sementara itu, menurut Nicky, harga durian IOI juga meningkat pada RM30 ke atas sekilogram berbanding RM20 musim lalu, manakala D24 pula dijual pada harga RM20 sekilogram berbanding RM12 sebelum ini.

Tambahnya, harga durian kampung kahwin mengalami kenaikan sebanyak RM10 sekilogram berbanding musim lalu RM8.

Dalam pada itu beliau berkata, penjualan durian pada musim besar dijangka lebih tinggi berbanding pasaran ketika ini.

Artikel Berkaitan:

“Musim besar untuk durian iaitu pada bulan Ogos hingga Oktober, harga mungkin lebih tinggi lagi berbanding sekarang.

“Kalau tiba musim itu, anggaran harga durian contohnya duri hitam boleh mencecah RM80 ke atas, jika kualiti dan kuantiti stabil," ujarnya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!