Aktiviti kebudayaan warnai sambutan Tahun Baru Cina
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perayaan Tahun Baharu Cina hari ini diwarnai dengan pelbagai aktiviti kebudayaan masyarakat Tionghua termasuk majlis rumah terbuka yang diadakan untuk mengeratkan perpaduan masyarakat.
Sempena cuti umum perayaan Tahun Tikus itu, orang ramai seluruh negara turut mengambil kesempatan meluangkan masa bersama keluarga serta mengunjungi sahabat handai bagi memeriahkan lagi suasana sambutan.
Di ibu kota, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menyerikan majlis rumah terbuka yang dihoskan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Menara PGRM di sini.
Ketibaan mereka disambut Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau serta persembahan tarian singa dan kebudayaan kaum Cina, nyanyian lagu patriotik, disusuli acara menggaul ‘yee sang’ bersama tetamu lain.
Lebih 1,000 tetamu termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri Datin Seri Shamsidar Taharin turut hadir pada majlis itu yang dihiasi warna merah melambangkan tuah dan kebahagiaan.
Di SELANGOR, tinjauan di Tokong Kwan Imm, Jalan Raya Barat, Klang mendapati masyarakat Tionghua mula mengunjungi rumah ibadat itu sejak awal pagi bagi upacara keagamaan sebelum memulakan aktiviti menziarahi kaum keluarga.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari turut mengunjungi kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri Pandamaran, Leong Tuck Chee di Bandar Bukit Tinggi, Klang bagi bersama-sama meraikan sambutan perayaan itu.
Sekitar jam 8 malam ini, taman tema i-City di Seksyen 7 Shah Alam turut tidak ketinggalan mengadakan sambutan Tahun Baru Cina menerusi penganjuran pelbagai acara antaranya tarian singa akrobatik, tarian naga, persembahan gendang dan pertunjukan bunga api.
Sambutan perayaan Tahun Baharu Cina peringkat Selangor akan diadakan pada 1 Februari ini di Dataran Petaling Jaya.
Di NEGERI SEMBILAN, hampir 600 orang masyarakat Tionghua beragama Kristian membanjiri perkarangan Church of The Visitation di Seremban seawal jam 8 pagi untuk acara keagamaan di gereja tertua di daerah itu.
Keadaan sama dilihat di Tokong Then Sze Koon di Jalan Bukit Temiang di sini. Masyarakat Cina tiba rumah ibadat itu kira-kira jam 7.30 pagi untuk acara keagamaan.
Di KELANTAN, meskipun Tahun Baru Cina disambut sederhana oleh lebih 53,000 masyarakat berketurunan Tionghua namun ia tetap meriah dengan kepulangan perantau yang menyambut perayaan itu bersama keluarga masing-masing.
Setiausaha DAP Kelantan Chua Chin Hui ketika dihubungi Bernama berkata, masyarakat Tionghua di negeri itu telah melakukan persiapan sejak beberapa minggu lepas, dengan pihak DAP di sebuah cawangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama turut mengambil inisiatif mengumpulkan sumbangan untuk diberi kepada 150 penerima dalam kalangan golongan kurang berkemampuan.
Di MELAKA, Ketua Menteri Adly Zahari berkunjung ke rumah tetamu kenamaan yang menyambut perayaan itu selain menghadiri sambutan di rumah Ahli-ahli Majlis Perbandaran Jasin dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah di Merlimau dan Taman Kota Laksamana.
Menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya, Adly mengajak rakyat Melaka meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sempena cuti ini, selain mengingatkan mereka supaya mengunjungi rakan Tionghua yang mengadakan rumah terbuka sempena meraikan perayaan itu.
Di PERAK, walaupun tiada sambutan rasmi oleh mana-mana pemimpin hari ini, namun kemeriahan tetap terasa di rumah-rumah ibadat yang menjadi tumpuan bagi mereka yang menyambut Tahun Baharu Cina dan tinjauan Bernama mendapati tokong Ling Sen Tong di Sam Poh Tong di Ipoh menerima kedatangan pengunjung seawal jam 8 pagi bagi aktiviti keagamaan.
Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2020 peringkat Negeri Perak akan diadakan pada 6 Februari di Bandar Seri Botani Eco Park 1 bermula jam 6 petang sehingga 11 malam yang dijangka dihadiri Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Di PERLIS, hampir 2,000 kaum Cina membanjiri Tokong Poh Aun Keong di Bandar Kangar berhampiran Stesen Bas Kangar dekat sini sempena upacara Tahun Baru Cina yang di sambut secara sederhana.
Pengerusi tokong itu, Saw Eng Hock ketika ditemui Bernama berkata, rata-rata masyarakat Tionghua telah berhimpun di tokong yang berusia lebih 120 tahun itu sejak jam 11 malam semalam bagi melakukan upacara keagamaan.
Di SARAWAK, lebih 2,000 masyarakat pelbagai kaum dan agama memeriahkan rumah terbuka Tahun Baru Cina Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Dewan Sa’ati, Jalan Tan Sri Ong Kee Hui, di sini termasuk Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib.
Ketibaan tetamu kenamaan lain termasuk Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri Datin Patinggi Juma'ani Tun Tuanku Bujang disambut mesra oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr Sim Kui Hian yang juga merupakan Presiden SUPP.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen turut mengadakan rumah terbuka Tahun Baharu Cina di Christian Centre di Batu 2 yang bermula jam 11 pagi hingga 4 petang.
Di JOHOR, Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal menyeru rakyat menggenggam erat konsep ‘Muafakat Itu Berkat’ dalam kehidupan seharian supaya tidak wujud perasaan negatif yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan sedia ada.
Beliau berkata ini kerana Johor sentiasa meletakkan nilai ‘muafakat’ sebagai tunjang dan sentuhan terpenting dalam konteks perpaduan masyarakat, yang akhirnya menghadirkan berkat dalam sesuatu perkara.
"Menjadi tanggungjawab kita untuk bersama-sama menyuburkan perasaan cinta dan kasih antara kaum melalui semangat perpaduan dan kekitaan sekali gus diwarisi oleh generasi akan datang.
"Sebagai Bangsa Johor yang bestari, kerjasama, budaya hormat menghormati dan toleransi harus digenggam kuat demi melihat negeri ini terus makmur dan rakyatnya sejahtera," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang dibacakan Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Johor Liow Cai Tung pada majlis Mesra dan Muhibbah Tahun Baru Cina 2020 anjuran Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru, di Johor Bahru hari ini.
Di PULAU PINANG, ribuan rakyat tidak melepaskan peluang meraikan sambutan Tahun Baru Cina yang dihoskan oleh Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Pusat Konvensyen Setia SPICE, di sini dengan pelbagai acara diadakan seperti persembahan tarian, dram dan acara menggaul Yee Sang.
Guan Eng ketika ditemui selepas majlis itu menzahirkan harapannya pada tahun baharu ini agar rakyat dapat terus hidup bersatu padu dan dalam keadaan aman damai serta makmur.
Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang dan pimpinan kerajaan negeri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!