Tok Siah mohon maaf tak dapat tunai janji pakai kebaya
NIBONG TEBAL - Seorang warga emas yang sebelum ini berjanji untuk berkebaya ketika keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap hari ini memohon maaf kerana tidak dapat mengotakan janji itu.
Selasiah Razak, 88, atau lebih mesra dipanggil Tok Siah berkata, dia tidak dapat berbuat demikian kerana terpaksa hadir ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri di Sungai Jawi di sini dengan membonceng motosikal cucunya sekali gus membataskan pergerakannya.
"Tok minta maaf tak pakai kebaya sebab mai naik motosikal, susah nak naik motosikal kalau pakai kebaya. Apa-apa pun Alhamdulillah tok dikurniakan kesihatan yang baik dan tetap gembira dapat hadir mengundi untuk kali ke-16 tanpa gagal sejak usia muda,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sekolah itu.
Sebelum ini, nenek kepada 24 cucu itu menyatakan hasratnya kepada Bernama untuk mengenakan kebaya yang dihasilkan sendiri kerana ingin memeriahkan suasana hari pengundian.
Selasiah yang dilahirkan pada 1936 adalah antara 508 pengundi berusia 80 ke atas di DUN Sungai Bakap.
PRK DUN Sungai Bakap hari ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lepas, kerusi itu dimenangi Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. - Bernama
*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!