Dr Joohari kalah sebab dasar Kerajaan Perpaduan - Hassan Karim

Hassan Karim
Hassan Karim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin didakwa menerima kesan daripada dasar-dasar kerajaan Perpaduan mengenai cukai dan subsidi apabila tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, isu penyelarasan diesel yang dilaksanakan kerajaan baru-baru ini menjadi punca utama kekalahan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

"Penerimaan rakyat termasuk di Sungai Bakap dalam isu diesel tersebut sangat merugikan calon PKR.

Rakyat marah kerana kenaikan harga diesel menyebabkan kenaikan harga barangan yang lain menjadikan kos sara hidup semakin tinggi.

"Naratif politik pun tidak begitu baik apabila subsidi diesel ditarik balik sebahagiannya selepas langkah kerajaan menaikkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST)

daripada enam kepada lapan peratus bagi sesetengah barang," katanya dalam satu kenyataan pada malam Sabtu.

Perikatan Nasional (PN) pada Sabtu berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya Abidin Ismail menang dalam PRK kawasan berkenaan dengan majoriti 4,267 undi.

Bekas eksekutif lojistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan Dr Joohari yang meraih 10,222 undi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Hassan berkata, pendedahan laporan Ketua Audit Negara tentang penyelewengan dan ketirisan 11 projek-projek syarikat Kerajaan Perpaduan iaitu dua hari sebelum hari mengundi yang dibentangkan di Parlimen turut didakwa menjadi punca kekalahan.

Jelasnya, penyelewengan dan ketirisan berbilion ringgit itu berlaku pada masa kerajaan sekarang dan mudah sahaja bagi penduduk di Sungai Bakap menyimpulkan bahawa tiada beza kerajaan sekarang dengan kerajaan-kerajaan terdahulu.

Keperibadian Dr Joohari katanya, sebagai seorang calon yang bersih dan berintegriti dengan kelulusan tinggi serta layak menjadi wakil rakyat yang baik ditolak pengundi.

Ujarnya, bukan itu sahaja apabila langkah berani dan lantang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di persada antarabangsa membela rakyat Palestin di Gaza juga tidak memberi kesan.

Hassan berpendapat, semuanya berlaku apabila Anwar yang juga Menteri Kewangan serta Pengerusi Khazanah Nasional bersetuju menjual sebahagian saham

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat Global Infrastructure Partners (GIP) dari Amerika Syarikat yang dikuasai BlackRock iaitu sebuah syarikat pelaburan antarabangsa yang kuat menyokong kerajaan Israel.

"Malang sungguh kepada calon PKR pertama kali itu terpaksa memikul 'dosa' PKR yang dikatakan telah memungkiri janji reformasi mereka.

Saya lihat PKR malah di Sungai Bakap dalam isu naratif nasional.

"Dasar-dasar mengenai cukai dan subsidi ini diputuskan di Putrajaya.

Tetapi kesan yang terpaksa dipikul ialah kekalahan calon PKR di Sungai Bakap," katanya.

Menurutnya, jika Kerajaan Perpaduan khususnya PKR dan PH selepas ini tidak membina naratif nasional yang betul dan bukan bercakap sahaja tetapi melaksana dasar yang banyak memberi manfaat kepada golongan B40 dan M40, mereka akan memihak kepada kerajaan sedia ada.

Keadaan itu katanya, akan berlaku antaranya apabila rakyat dapat membeli beras putih tempatan dengan harga berpatutan, kos sara hidup seharian semakin ringan, inflasi menurun dan gaji pekerja bertambah sehingga rakyat boleh menarik nafas lega.

Kata Hassan, tidak wajar menyalahkan Anwar atau Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kekalahan itu disebabkan mereka bergabung dalam Kerajaan Perpaduan yang dianggap reformasi politik yang 'songsang'.

"Jadi tidak hairan jika pengundi-pengundi di saluran 5, 6 dan 7 dalam PRK Sungai Bakap menolak calon PKR daripada PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan," ujarnya.

Kekalahan dalam PRK tersebut katanya, mempunyai hikmah untuk PKR dan PH serta mempunyai masa tiga tahun lagi sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 bagi memperbaiki strategi dan naratifnya.

"Ini untuk mengelakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima nasib yang sama seperti Perdana Menteri, Rishi Sunak di United Kingdom yang tewas dalam pilihan raya pada 5 Julai lalu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!