PRK Nenggiri: Muda bincang soal letak calon
KOTA BHARU - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masih melakukan perbincangan sama ada meletakkan calon ataupun tidak menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Setiausaha Agungnya, Amir Hariri Abd Hadi berkata, perkara tersebut telah dibawa oleh Biro Politik serta kepimpinan negeri.
"Kita masih belum buat keputusan dan ia sedang dibincangkan," katanya semasa sidang akhbar di sini pada Sabtu malam.
Menurut beliau, seperti mana PRK Kuala Kubu Baru sebelum ini walaupun tidak bertanding pihaknya ada mengeluarkan cadangan dan tuntutan demi kepentingan rakyat.
Ujarnya, selain meletakkan calon, Muda juga belum membuat sebarang keputusan sama ada akan turun membantu mana-mana parti pada PRK itu nanti.
Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong bermula dari tarikh berkenaan setelah menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala hari pengundian pada 17 Ogos.
Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu, Mohd Azizi dari Bersatu yang bertanding menggunakan logo Pas menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff.
Dalam perkembangan lain, Amir Hariri berkata, pihaknya belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak jika PRK berlaku di enam kawasan Parlimen jika kerusi tersebut kosong selepas kesemua wakil rakyat itu dilucutkan keahlian Bersatu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!