'Kemenangan PN isyarat jelas protes rakyat'

Abidin (kanan) sebaik sahaja diumumkan menang kerusi DUN Sungai Bakap pada Sabtu.
Abidin (kanan) sebaik sahaja diumumkan menang kerusi DUN Sungai Bakap pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Kemenangan Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dengan majoriti 4,267 undi merupakan isyarat jelas protes rakyat terhadap kerajaan.

Calon PN, Abidin Ismail berkata, selain kekuatan jentera dari seluruh negara, kemenangan dengan majoriti lebih besar berbanding pilihan raya negeri (PRN) lalu itu juga adalah petanda jelas penolakan rakyat terhadap kerajaan sedia ada.

"Betul! (Kemenangan tanda) protes pada tindakan kerajaan yang menekan rakyat," katanya kepada media selepas diumumkan menang pada kerusi berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, akan memberi keutamaan terhadap isu yang membelenggu penduduk Sungai Bakap dalam mendapatkan akses bekalan air bersih yang mengalami gangguan sejak enam tahun lalu.

"Beri keutamaan antaranya masalah air di Mukim 5 menjadi keutamaan," katanya.

Beliau dalam masa sama mengucapkan terima kasih kepada jentera PN yang datang dari seluruh Malaysia berusaha bertungkus-lumus memenangkannya.

"Saya juga ucap jutaan terima kasih kepada pimpinan PN yang telah memberi kepercayaan kepada saya sebagai calon PRK," katanya.

Dalam pertembungan satu lawan satu, Abidin berjaya mempertahankan kerusi DUN tersebut dengan majoriti 4,267 undi.

Artikel Berkaitan:

Bekas eksekutif lojistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan pencabarnya calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang meraih sebanyak 10,222 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK Sungai Bakap, Khairulnizam Hashim di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna Jawi di sini, pada Sabtu.

Abidin yang lebih mesra dengan panggilan Abang Abidin sebelum ini berjanji akan meneruskan legasi Nor Zamri Latiff jika dipilih menggantikan 'bos' beliau menjadi wakil rakyat di DUN Sungai Bakap itu.

Dalam Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal berjaya menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!