PN bakal ambil alih tugas UMNO - Razali

Razali
Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Kejayaan Perikatan Nasional (PN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) membuktikan parti berkenaan menjadi pilihan utama pengundi Melayu Islam dan bakal mengambil alih tugas UMNO.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, undian yang diterima juga mendedahkan PN semakin diyakini dan dipercayai pengundi Cina, India dan Bumiputera lain.

"PN terus semakin relevan dengan suara rakyat masa kini dan masa depan. Suara UMNO sudah tiada, lesu dan lenyap.

"Mengesahkan PN mewakili suara terbesar dan utama pengundi Melayu Islam adalah kemenangan rakyat di DUN Sungai Bakap apabila calon PN, Abidin Ismail menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) semalam (Sabtu).

"Tahniah Abang Abidin, memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini media melaporkan, Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina dan India yang merosot antara 10 hingga 13 peratus adalah antara faktor kekalahan PH ketika PRK DUN Sungai Bakap.

Menurutnya, kekurangan peratusan itu menyebabkan PH kehilangan pengundi Cina dan India yang ketara jika dibandingkan semasa pilihan raya negeri Ogos tahun lalu.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara PH dan PN yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Razali memaklumkan, kemenangan tersebut memberi peluang kepada Abidin untuk meneruskan legasi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan tersebut.

Tambah beliau, kemenangan dicapai dengan majoriti 4,267 undi menguatkan lagi isyarat bahawa kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin menekan rakyat dengan kos sara hidup.

"PH juga dilihat tidak lagi relevan di kaca mata rakyat dan terus gagal rampas DUN yang dulunya dikuasai PKR selama tiga penggal.

"Rakyat dan pengundi di enam kerusi Parlimen dan satu DUN bekas parti Bersatu di Selangor, Perak, Kelantan serta Labuan tidak sabar menanti kekosongan kerusi itu diumumkan kelak.

"Jangan buang masa rakyat, hormatilah rakyat, kembalikan hak pengundi semula untuk menentukan wakil rakyat baru mereka yang lebih berprinsip," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!