'Kemenangan dengan sokongan bukan Melayu beri idea kepada PN'

P Ramasamy
P Ramasamy
A
A
A

SHAH ALAM - Kemenangan dengan sokongan orang bukan Melayu terutamanya India memberi beberapa idea baharu untuk Perikatan Nasional (PN) memikirkan formula politik yang lebih besar untuk negara secara keseluruhan.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy berkata, meskipun kaum Cina masih bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH), namun pengundi India dan Melayu jelas telah menjauhi gabungan pemerintah tersebut.

"Ia hanya menunggu masa sebelum orang India boleh memikirkan persatuan politik dengan PN.

"Beberapa ketua masyarakat India di Puteri Gunung, Sungai Bakap, Seruling Mas, Sungai Kecil memaklumkan kepada saya bahawa sebelum pengumuman Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, kaum India telah memutuskan untuk tidak mengundi parti pemerintah.

"Ramai daripada mereka telah memutuskan untuk mengundi PN hanya untuk menghukum pakatan pemerintah kerana tidak melayan kaum India dengan hormat dan bermaruah," katanya dalam siaran di Facebook pada Ahad.

Pada Sabtu, PN berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dalam PRK kawasan itu dengan majoriti 4,267 undi.

Bekas eksekutif lojistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan pencabarnya calon PH, Dr Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang meraih 10,222 undi.

Dalam pada itu, ujar Ramasamy yang juga Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) itu, ketiadaan wakil Bebas atau calon daripada parti politik lain memberi manfaat kepada gabungan PN.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, peralihan pengundi India ke arah PN juga boleh dijelaskan oleh beberapa faktor.

"Di Pulau Pinang, tidak pelantikan seorang Tamil India ke jawatan timbalan ketua menteri kedua, pembinaan Sekolah Tamil Sungai Bakap terbantut, ketidakmajuan pembangunan perumahan untuk pekerja ladang Sungai Kecil dan lain-lain adalah punca rasa tidak senang yang berterusan di kalangan orang India," ujarnya.

Sementara itu, ulas beliau, berbanding PRK Kuala Kubu Bharu sebelum ini, Urimai memberi impak yang lebih besar kepada pengundi India di kawasan Sungai Bakap.

"Urimai memainkan peranan aktif dalam membujuk kaum India supaya tidak mengundi gabungan pimpinan PH sama seperti dalam PRK Kuala Kubu Bharu yang berakhir baru-baru ini.

"Saya menganggarkan Urimai memberi kesan kepada 20 peratus pengundi India di PRK Kuala Kubu Bharu.

"Bagaimanapun, dalam tinjauan pendapat Sungai Bakap, impak Urimai jauh lebih hebat daripada PRK Kuala Kubu Bharu," menurutnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!