16 rakyat Palestin maut dalam serangan Israel di sekolah

Kemusnahan pada bangunan sekolah yang menempatkan keluarga Palestin di Gaza. - Foto Reuters
Kemusnahan pada bangunan sekolah yang menempatkan keluarga Palestin di Gaza. - Foto Reuters
A
A
A

GAZA - Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah sekolah yang melindungi keluarga Palestin akibat kehilangan tempat tinggal di tengah Gaza pada Sabtu.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, serangan ke atas sekolah di Al-Nuseirat membunuh sekurang-kurangnya 16 orang dan mencederakan lebih 50 orang.

Tentera Israel mendakwa kononnya mengambil langkah berjaga-jaga untuk meminimumkan risiko kepada orang awam sebelum menyasarkan pejuang Hamas yang didakwa menggunakan kawasan itu sebagai tempat persembunyian untuk merancang dan melakukan serangan terhadap tentera.

Antara mereka yang maut dalam serangan terbaharu Israel itu adalah golongan kanak-kanak.

Menurut jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Awam Gaza, Mahmoud Basal, jumlah kematian boleh meningkat kerana ramai yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Katanya lagi, serangan itu bermakna tiada tempat di enklaf itu selamat untuk keluarga yang meninggalkan rumah mereka bagi mencari perlindungan.

Al-Nuseirat, salah satu daripada lapan kem pelarian bersejarah di Semenanjung Gaza.

Serangan udara sebelum ini di sebuah rumah di kem itu membunuh sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan ramai yang lain.

Artikel Berkaitan:

Dalam kemas kini harian mengenai orang yang terkorban dalam perang hampir sembilan bulan, Kementerian Kesihatan Gaza berkata, serangan tentera Israel di seluruh wilayah itu membunuh sekurang-kurangnya 29 rakyat Palestin dalam tempoh 24 jam lalu dan mencederakan 100 yang lain.

Antara yang terbunuh dalam serangan udara berasingan pada hari Sabtu ialah lima wartawan tempatan, meningkatkan jumlah wartawan yang terbunuh sejak 7 Oktober kepada 158.

Pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata lebih 38,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel. - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!