Lelaki maut tercampak nahas tiga kenderaan
TAWAU - Seorang penunggang motosikal maut selepas tercampak ke hadapan cermin sebuah kereta dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Lapangan Terbang dekat sini pada malam Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, lelaki berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dipandu lelaki 38 tahun yang sedang menjalankan aktiviti e-hailing menuju ke Lapangan Terbang Tawau untuk mengambil penumpang.
"Sebuah lagi kenderaan iaitu Proton Saga dipandu seorang wanita berusia 36 tahun bersama seorang penumpang lelaki dan mangsa pula menunggang motosikal jenis Honda dari arah Lapangan Terbang Tawau.
"Sebaik tiba di lokasi, mangsa cuba memintas Proton Saga tersebut dengan memasuki laluan bertentangan namun jarak yang terlalu dekat menyebabkan mangsa melanggar bahagian depan kanan MPV lalu terhumban ke cermin hadapan Proton Saga," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Jasmin berkata, akibat kejadian itu mangsa tercampak sejauh 21.6 meter ke bahu jalan sebelah kiri dari arah lapangan terbang.
"Mangsa juga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Proton Saga bersama penumpang dan pemandu e-hailing hanya mengalami cedera ringan.
"Kemalangan turut menyebabkan kerosakan di bahagian hadapan MPV dan Proton Saga manakala motosikal mengalami kerosakan teruk," katanya.
Sehubungan itu, Jasmin berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!