Manfaat agensi Persekutuan bantu rakyat ditimpa bencana - Shafie Apdal

Mohd Shafie ketika bertemu penduduk pada program ziarah kasih Sembulan di Kampung Sembulan Tengah, Kota Kinabalu.
Mohd Shafie ketika bertemu penduduk pada program ziarah kasih Sembulan di Kampung Sembulan Tengah, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri disaran memanfaatkan sepenuhnya anggota atau kakitangan agensi Persekutuan untuk diatur gerak ketika bencana berlaku di negeri ini.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Jawatankuasa Keselamatan Negeri boleh mengatur gerak agensi berkaitan untuk diturunkan bagi membantu rakyat yang ditimpa bencana.

"Kita ada sukarelawan, tentera, bomba contohnya, bukan ada peperangan pun. Kadang-kadang di peringkat Pusat pun saya gerakkan agensi yang ada untuk bantu rakyat.

"Pimpinan di sini kena pandai mengatur, bukan tidak boleh atur. Pengerusi keselamatan ialah Ketua Menteri, boleh dikerahkan jawatankuasa khususnya melibatkan agensi-agensi Pusat yang ada, Kem Lok Kawi bukan jauh dari Penampang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada program ziarah kasih Sembulan di Kampung Sembulan Tengah pada petang Sabtu.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga perlu mempunyai perancangan supaya jika berlakunya bencana sudah ada persediaan untuk menangganinya.

"Kita mesti ada perancangan yang teratur, bila datang malapetaka kita sudah sedia. Jangan kita tunggu hujan baru ada payung, kita sediakan payung sama ada hujan atau tidak tetapi sudah ada persediaannya.

"Kalau hujan mungkin banjir, kalau cuaca panas mungkin berlaku kebakaran. Kita tidak tahu, kena ada kesiapsiagaannya," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan (Warisan) dalam pada itu turut menyarankan agar kerajaan menggunakan aset agensi kerajaan dalam usaha mengurangkan perbelanjaan negara.

"Dulu semasa saya Menteri Perdagangan Dalam Negeri, masalah gula di Sabah berlaku, saya hantar gula ke Sarawak, Sabah tidak menggunakan kapal MISC.

"Saya gunakan kapal tentera laut, saya maklumkan kepada Najib (bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) kita gunakan tentera laut sebab saya tahu kosong dari Pelabuhan Klang ke Sabah.

"Kalau tidak ada air, boleh gunakan lori bomba jangan gunakan lori swasta. Kalau swasta masalahnya banyak belanja.

"Daripada kita berbelanja untuk sewa tangki air swasta, kenapa tidak menggunakan bomba, bukan ada kebakaran pun. Saya yakin agensi-agensi lain banyak lori yang kita boleh gunakan untuk membantu masyrakat.

"Kita manfaatkan dengan mengurangkan belanja kerajaan yang menjadi bebanan, kalau belanja RM10 juta baik kita jimatkan seumpama itu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!