Rasulullah SAW tidak gopoh perkenal perkara baharu - Sultan Nazrin
IPOH - Umat Islam seharusnya mencontohi pendekatan strategik Rasulullah SAW yang tidak gopoh untuk memperkenalkan perkara-perkara baharu kepada masyarakat.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Nabi Muhammad SAW tidak gopoh menyampaikan mesej Islam secara terbuka dan tidak terburu-buru untuk terus mengisytiharkan bumi Mekah ditadbir urus berpaksikan Islam.
Baginda bertitah, sebaliknya Rasulullah SAW memilih pendekatan berhati-hati dan tidak gopoh atas kesedaran bahawa cetusan perkara baharu memerlukan masa untuk mendapat pemahaman sebelum dapat diterima.
"Ummah perlu mengambil iktibar akan pentingnya memiliki sifat sabar dan sifat gigih ketika memperkenalkan sesuatu perkara baharu, memikirkan pendekatan strategik agar perkara baharu yang mahu diperkenalkan dapat disampaikan secara terang, diterangkan secara jelas dan dijelaskan secara berkesan agar benar-benar difahami sebelum dapat diterima.
"Perkara baharu perlu disampaikan melalui daya komunikasi dan daya penyampaian yang berkesan. Manusia memerlukan fahaman yang jelas dan masa yang munasabah sebelum dapat menerima serta menghadamkan sesuatu perkara baharu," titah baginda sempena Majlis Sambutan Kemuncak Maal Hijrah Negeri Perak Darul Ridzuan 1446H di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin dan barisan exco kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, manusia memerlukan fahaman jelas dan masa yang munasabah sebelum dapat menerima dan menghadamkan sesuatu perkara baharu.
Mengimbau sejarah, menurut baginda, Rasulullah SAW terlebih dahulu meneliti suasana dan persekitaran sebelum memilih pendekatan paling sesuai dalam memperkenalkan Islam pada peringkat awal melalui gerakan dakwah yang dilakukan secara sulit bermula dengan bilangan yang kecil dalam kalangan ahli keluarga dan sahabat rapat.
"Islam kemudiannya disemarakkan bagai api dalam sekam, terselindung nyalaannya daripada pandangan mata umum, demi memastikan keselamatan para pengikut terawal yang menghadapi tentangan hebat daripada pihak musyrikin Quraisy Mekah.
"Secara sabar dan gigih, kumpulan teras dapat dibentuk hasil daripada usaha dakwah tahap pertama. Kumpulan teras yang dibentuk, selanjutnya berperanan sebagai nukleus penggerak, merintis gerakan dakwah secara terbuka hingga berjaya meruntuhkan sedikit demi sedikit tembok kejahilan yang membelenggu penduduk Makkah," titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut bertitah strategi Rasulullah SAW yang pernah menghasilkan kejayaan perlu diterokai dan diadaptasi untuk menawarkan harapan baharu di dalam dunia yang semakin menghadapi konflik serta dilanda perpecahan.
Jelasnya, dengan mengkaji pendekatan Baginda, ummah boleh mendapat pengajaran dan panduan berharga untuk urusan-urusan penyelesaian konflik, perundingan, pembangunan masyarakat serta memperlengkapkan diri menghadapi cabaran semasa.
Menurut Sultan Nazrin, meskipun mencapai kemenangan dan mencipta kejayaan, Nabi Muhammad SAW kekal bersifat sederhana, mengamalkan sifat-sifat kemanusiaan yang tinggi dengan sentiasa insaf akan taraf Baginda hanya seorang hamba di sisi ALLAH SWT.
"Ketika melangkah masuk ke tahun baharu Hijrah 1446, sewajarnya ummah menjadikan panduan dan pedoman pemikiran strategik Rasulullah SAW yang berperanan utama membolehkan syiar Islam berkembang dengan menakjubkan.
"Inisiatif Baginda yang memperkenalkan langkah-langkah inovatif berjaya menyatukan puak-puak yang berselisih menjadi ummah yang bersatu, serta kejayaan membentuk nilai kemanusiaan sejagat, wajib dijadikan pegangan oleh pemimpin semasa.
"Kepimpinan Baginda hendaklah dijadikan contoh teladan bagaimana kepimpinan yang berwawasan dan hikmah yang abadi berupaya melakukan transformasi meskipun berhadapan pelbagai dugaan, cabaran dan halangan," titah baginda.
Menurut Sultan Nazrin, setelah 1446 tahun berlalunya peristiwa hijrah, Islam kini dianuti seramai 1.9 bilion orang iaitu menyamai 24.1 peratus penduduk dunia.
Jelas baginda, umat Islam yang terdiri dari pelbagai kaum berlatar belakangkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa, kini menjadi penduduk majoriti di 49 buah negara.
Baginda bertitah umat Islam pada hari ini tidak tewas daripada segi kuantiti tetapi cabaran utama yang dihadapi oleh umat Islam ialah keupayaan mengukuhkan daya fikir yang strategik untuk mengatasi cabaran yang menghalang, di samping bijak merebut peluang yang terhampar.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Universiti Sultan Azlan Shah, Prof Madya Dr Ahmad Husni Hasan diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1446 Peringkat Negeri Perak dengan membawa pulang wang tunai RM15,000, pakej umrah bernilai RM9,000, plak dan sijil.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Sultan Nazrin.
Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Ar Ridzuan kepada Felo Penyelidik Utama Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud.
Beberapa anugerah lain turut disampaikan iaitu Anugerah Saidina Ali kepada Mohamad Firdaus Kamaruddin; Anugerah Siti Khadijah kepada Noor Mazlina Noor Shah yang juga Penasihat Rumah Ngaji Perak dan Ikon Asnaf yang dimenangi Robunah Abdul Basir.
Pelajar cemerlang Orang Asli yang meraih 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, Fifi Nurfatin Marjaidi Hirwan turut diraikan sebagai penerima Anugerah Khas.
Anugerah Al-Quba Pengurusan Masjid Terbaik pula diterima Masjid An-Naim, Taman Seri Setia, Teluk Intan manakala Anugerah Al-Baqi Pengurusan Tanah Perkuburan Terbaik pula disampaikan kepada Taman Persemadian Islam Seri Manjung.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!