Sultan Ibrahim pentingkan ketepatan masa, tidak suka rakyat menunggu

Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] “Tuanku tidak suka rakyat menunggu lama ketibaan Tuanku,” kata Datuk R Sugumaran, Pegawai Peribadi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menyifatkan Seri Paduka Baginda amat menitikberatkan ketepatan masa.

Menceritakan keperibadian Sultan Ibrahim, Sugumaran yang telah menabur bakti dengan Seri Paduka Baginda sejak 2003 berkata, beliau tidak pernah melihat Yang di-Pertuan Agong ke-17 itu tiba lewat pada setiap majlis.

"Selama lebih 20 tahun saya berkhidmat sebagai Pegawai Peribadi Tuanku, tidak pernah saya lihat Tuanku lewat tiba pada satu-satu majlis, selalunya awal lima minit ataupun 10 minit,” katanya kepada Bernama dalam satu wawancara di pejabat Bernama di sini baru-baru ini.

Sugumaran berkata, walaupun kelihatan tegas, Seri Paduka Baginda sebenarnya berhati lembut dan mudah mengasihani orang.

"Tuanku tidak suka marah-marah ... kalau kita cakap 'kasihanlah Tuanku, kita beri peluang sekali lagi', (Seri Paduka Baginda akan bertitah) 'okey Sugu (Sugumaran), anda buat apa yang difikirkan betul' dan biasanya peluang akan diberi sekali lagi," katanya.

Sugumaran berkata, walaupun kelihatan tegas, Seri Paduka Baginda sebenarnya berhati lembut dan mudah mengasihani orang.
Sugumaran berkata, walaupun kelihatan tegas, Seri Paduka Baginda sebenarnya berhati lembut dan mudah mengasihani orang.

Selain itu, Sugumaran berkata, Seri Paduka Baginda juga gemar berinteraksi dengan rakyat dan mendengar permasalahan mereka.

"Pergi mana-mana pun, bila rakyat ada peluang untuk menghadap Tuanku, rakyat suka beritahu masalah yang mereka hadapi kepada Tuanku.

Artikel Berkaitan:

"Selalunya apabila Tuanku berangkat, pegawai-pegawai kerajaan di daerah terbabit akan ada bersama dan setiap aduan segera diambil tindakan oleh pegawai-pegawai daerah," katanya.

Beliau berkata, Sultan Ibrahim sangat menitikberatkan kepentingan orang ramai, berdisiplin dan sering menasihati petugas kerajaan, terutama bahagian pengurusan tertinggi agar mengutamakan kepentingan awam melebihi kepentingan diri.

Sultan Ibrahim katanya juga, tidak suka perpecahan dalam kalangan rakyat dan akan segera menegur agar masalah berkenaan tidak berpanjangan.

"Mereka yang membuat fitnah ataupun mengeluarkan berita-berita palsu untuk memecahbelahkan rakyat, terutama sekali di Johor, walaupun ahli politik Tuanku akan panggil ke istana dan buat teguran supaya masalah itu tidak menjadi besar dan dapat dikekang pada peringkat awal," katanya.

Mengimbau detik perkenalannya dengan Seri Paduka Baginda, Sugumaran yang memulakan kerjaya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1978 sebagai Konstabel berkata, segalanya bermula ketika beliau bertugas sebagai Ketua Balai Polis Sentral Johor Bahru pada 2003.

R Sugumaran menyifatkan Seri Paduka Baginda amat menitikberatkan ketepatan masa. Foto Bernama
R Sugumaran menyifatkan Seri Paduka Baginda amat menitikberatkan ketepatan masa. Foto Bernama

Kata anak penoreh getah dari Bestari Jaya, Selangor itu, latar belakang beliau yang pernah berkhidmat sebagai Pemerhati Udara dengan Unit Peronda Udara Polis dan memakai lencana Sayap Separuh menarik perhatian Sultan Ibrahim untuk mendapatkan khidmat beliau sebagai Pegawai Peribadi Seri Paduka Baginda yang ketika itu bergelar Tunku Mahkota Johor.

"Pengalaman yang pertama pada 2003, masa itu ialah Istiadat Pertabalan Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah), diikuti dengan mesyuarat Majlis Raja-Raja.

"Seminggu saya ditugaskan ... Tuanku telah mewakili Almarhum paduka ayahanda (Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail) ... itulah permulaan (tugas) saya," katanya.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari dan istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda dijadualkan pada 20 Julai ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!