Murugiah, Asojan kekal Naib Presiden MIC, Nelson muka baharu
KUALA LUMPUR - Datuk T Murugiah dan Datuk M Asojan, masing-masing mempertahankan jawatan Naib Presiden MIC manakala Ahli Dewan Negara, Datuk Dr R Nelson muncul muka baharu jawatan berkenaan pada pemilihan barisan kepimpinan tertinggi parti itu, bagi penggal 2024-2027.
Keputusan berkenaan dimaklumkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MIC yang juga Penasihat Undang-undang parti, Datuk M Selva kepada Bernama pada Ahad.
Nelson sebelum ini adalah Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
Selain itu, daripada 44 calon yang menawarkan diri bertanding jawatan CWC, 21 daripadanya berjaya dipilih oleh perwakilan bagi menjawat jawatan itu untuk tempoh sama.
Antara CWC yang terpilih adalah Datuk S Tamilvanan, D Vincent, D Andrew, Datuk P Kamalanathan, Datuk S Marathamuthu, Datuk M Karuppanan, Dr T Novalan, G Raman dan Datuk Dr S Ananthan
Proses pengundian jawatan tertinggi MIC berlangsung di ibu pejabat MIC pusat dan semua negeri bermula 1 tengah hari Sabtu dengan proses penamaan dilaksanakan bulan lepas.
Sebelum ini, Tan Sri S A Vigneswaran dan bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan masing-masing mempertahankan jawatan sebagai Presiden MIC dan Timbalan Presiden MIC selepas menang tanpa bertanding.
Bagi jawatan sayap MIC, S Shatesh Kumar dan K Amarveen Malairaja masing-masing dipilih menerajui Putera MIC sebagai ketua dan timbalan ketua bagi penggal 2024-2027 manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Johor N Saraswati menang tanpa bertanding jawatan Ketua Wanita dan Dr P Thanaletchumy sebagai Timbalan Ketua Wanita. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!