Jakim diarah tingkat penguatkuasaan terhadap kandungan ajaran sesat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad. Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Tindakan penguatkuasaan tegas terhadap kelompok yang menyebar kandungan ajaran sesat amat penting, supaya mereka tidak merasakan perbuatan itu begitu mudah dilakukan sewenang-wenangnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2024/1446H berhubung isu itu, sudah tiba masanya untuk penguat kuasa sama ada pihak pengurusan agama atau polis, bertindak tegas dalam menanganinya.

"Saya akan mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengadakan perbincangan dengan jabatan agama Islam negeri, khususnya bahagian penguatkuasaan untuk melihat dan bertindak secara bersama untuk menangani isu berkaitan dengan penyebaran ajaran sesat," katanya kepada media selepas majlis sambutan Maal Hijrah, di sini, pada Ahad.

Mohd Na'im berkata, bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, beliau akan menghadap Seri Paduka Baginda dalam masa terdekat untuk mendapat perincian mengenai jawatankuasa khas yang perlu ditubuhkan bagi menangani isu penyebaran kandungan ajaran sesat.

Selain itu beliau berkata, titah Seri Paduka Baginda mengenai keperluan pusat rujukan agama untuk menyebarkan ilmu dan maklumat tepat, merupakan langkah penting ekoran cabaran kebanjiran maklumat melalui media sosial yang sukar dikawal.

"Perkara itu akan dibincangkan dengan Jakim iaitu agensi agama peringkat Persekutuan yang melaraskan isu berkaitan agama. Memandangkan Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya pusat (rujukan agama) itu diwujudkan, kita akan lihat bagaimana pusat itu boleh dibentuk," katanya.

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong dalam titah Seri Paduka Baginda menggesa supaya tindakan penguatkuasaan ditingkatkan terhadap kandungan ajaran sesat, dan sebuah pusat rujukan agama disediakan untuk penyebaran ilmu dan maklumat tepat.

Mohd Na'im berkata, beliau menyokong titah Yang di-Pertuan Agong yang mengajak rakyat khususnya pengguna media sosial menjaga akhlak dan bahasa dalam menggunakan platform itu untuk manfaat dan bukannya untuk jalan keburukan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi sama-sama kita menjunjung titah (Seri Paduka Baginda) untuk menggunakan platform media sosial dengan cara baik, menghormati sesama kita dan membina perpaduan serta kasih sayang dalam kalangan masyarakat berbilang kaum," katanya.

Terdahulu Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2024/1446H yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan isteri, Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin.

Tema sambutan Maal Hijrah tahun ini ialah 'Al-Falah Pemacu Malaysia Madani' yang merupakan manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan juga tema yang signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki dunia dan akhirat. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!