Kemenangan PN bukti rakyat bijak menilai - Muhyiddin Yassin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap membuktikan rakyat semakin bijak membuat penilaian terhadap pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan tersebut turut menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap perjuangan PN dalam mempertahankan nasib mereka.

"PRK Sungai Bakap menunjukkan pengundi bijak menilai. Mereka tidak termakan dengan sogokan dan pujukan.

"Malah tindakan PH-BN menyalahgunakan jentera kerajaan secara besar-besaran untuk meraih undi juga tidak memberikan apa-apa kelebihan kepada parti itu," katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di aplikasi X pada Ahad.

Pada Sabtu, PN berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi.

Bekas eksekutif lojistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan pencabarnya calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang meraih 10,222 undi.

Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, ia juga isyarat jelas penolakan rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan PH-BN yang menyusah dan merimaskan rakyat.

"Ini termasuk penyasaran subsidi diesel yang menyebabkan kenaikan harga barang serta menambah beban rakyat. Ditambah pula dengan kedegilan kerajaan meneruskan penjualan saham Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) walaupun ditentang hebat oleh rakyat dan kegagalan dalam melaksanakan janji reformasi institusi.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat ALLAH SWT. Saya mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang mengundi calon PN, Abidin Ismail. Sokongan padu anda membolehkan PN mencatatkan majoriti lebih besar kali ini.

"Tahniah kepada calon PN atas kemenangan yang amat bermakna ini dan terima kasih kepada semua jentera PN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) serta rakan badan bukan kerajaan (NGO), tokoh masyarakat termasuk individu yang bekerja keras memastikan kemenangan PN," ujarnya.

Rakyat tolak PH kerana tertekan isu kos sara hidup - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri

Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penolakan rakyat terhadap calon PH dalam PRK Sungai Bakap pada Sabtu disebabkan pelbagai faktor antaranya berkaitan kos sara hidup.

Beliau berkata, ia dibuktikan dengan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah namun memberikan bilangan menjoriti lebih tinggi kepada calon PN.

"Kejayaan diperoleh ini sudah tentu berkait dengan testimoni rakyat yang mahu menyatakan pendirian mereka dan penolakan dalam pelbagai isu yang ada dalam negara.

"Antara isu yang berlegar di Sungai Bakap ialah berkenaan dengan isu air, subsidi diesel dan yang paling utama terangkum dalam semua itu ialah kos sara hidup yang menekan keseluruhan rakyat terutama pengundi di DUN berkenaan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Maal Hijrah 1446H peringkat negeri di Wisma Darul Iman di sini, pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata, PN juga telah menemui rentak kerjasama jentera parti antara parti komponen yang akan sentiasa ditambah baik dan digunakan pada pilihan raya akan datang.

Katanya, strategi sama akan dikekalkan terutama melibatkan kerjasama lebih tersusun dalam kalangan petugas pelbagai latar belakang parti antaranya Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan lain-lain.

"Saya pernah sebut bahawa suasana gerak kerja di Sungai Bakap semakin bertambah baik berbanding PRK sebelum ini seperti di Johor (Pelangai) dan Kuala Kubu Baharu.

"Model yang kita laksanakan di Sungai Bakap ini setelah kita mencuba pelbagai cara. Kita nampak ia lebih berkesan dan saya percaya jika wujud PRK lain selepas ini misalnya di Nenggiri, mungkin model yang sama kita akan laksanakan," ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!