Keluarga Prebet Muhammad Syafiq bersyukur doa dimakbulkan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

BALING - Keluarga kepada Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim yang hilang di sempadan Malaysia-Brunei ketika bertugas dalam Op Ukur di Limbang, Sarawak bersyukur apabila doa mereka agar anggota tentera itu ditemukan semula dimakbulkan ALLAH SWT.

Anggota pasukan Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu itu ditemui selamat pada jam 11.29 pagi pada Sabtu oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas dilaporkan hilang pada 18 Jun lepas.

Kakaknya, Syazwani, 24, berkata, mereka sekeluarga amat bersyukur memandangkan doa tanpa henti selama ini dimakbulkan Ilahi.

"Alhamdulillah adik ditemui selamat setelah 19 hari hilang dalam hutan di Sarawak.

"Kami sekeluarga juga sempat mengadakan kenduri kesyukuran selepas penemuannya," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Kongsi Syazwani, ibunya, Zawiyah Salleh, 55, telah diterbangkan ke Sarawak oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk bertemu Muhammad Syafiq.

Dia berkata, hanya ibu mereka sahaja ke sana menemui adik memandangkan bapanya, Abdul Halim Abdul Kadir, 51, kurang sihat.

Dalam pada itu, Syazwani turut berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan keselamatan adiknya serta pasukan penyelamat yang menjalankan operasi mencari anak ketiga daripada lima beradik itu.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan Prebet Muhammad Syafiq berjaya menjejaki tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian sehingga beliau berjaya menemui lokasi Forward Operating Base (FOB) Tim A.

Menurut kenyataan dikeluarkan Sel Perhubungan Raya Tentera Darat Malaysia (TDM), beliau ditemui dalam keadaan selamat lengkap bersama peralatan dan senjata, namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!