'Usah terkial-kial cari calon di saat akhir' - Tok Mat
SEREMBAN - Jawatankuasa UMNO Bahagian perlu mengenal pasti calon yang berpotensi bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bermula dari sekarang dan bukannya pada saat akhir.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia bagi membolehkan persiapan lebih awal dibuat terutama memperkenalkan calon kepada masyarakat.
"Jangan sampai saat akhir, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri(DUN) dah dibubarkan baharu terkial-kial nak cari calon.
"Sepatutnya lagi dua tahun ini, Bahagian secara tidak diuar-uarkan, dua atau tiga orang yang dilihat mempunyai potensi untuk dinamakan sebagai calon, mintalah dia bekerja supaya mereka dapat dedahkan diri dan sesuaikan diri untuk orang kenal," katanya.
Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau 2024 di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Menurutnya, cara itu dapat mengharmonikan suasana parti menjelang proses penamaan calon yang biasanya akan timbul pelbagai konflik.
Ini kerana katanya, soal calon yang tidak dipersetujui juga boleh menjadi faktor kepada kekalahan di sesetengah kawasan.
"Harmonikan dulu proses penamaan calon kerana itu merupakan salah satu sebab yang saya lihat banyaknya tempat kadang-kadang kita kalah kerana masalah calon yang tak dapat restu Bahagian, tak popular dan macam-macam.
"Kalau kita buat awal, kita dapat mendedahkan dan beri peluang kepada pengundi untuk mengenal calon dan beri peluang kepada calon untuk beliau menyantuni masyarakat setempat,".
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bukan Presiden parti yang menentukan calon sebaliknya ia dipilih berdasarkan senarai nama yang dihantar oleh setiap Bahagian.
"Presiden cuma ambil nama yang dihantar oleh Bahagian dan Perhubungan UMNO negeri masing-masing juga akan berunding dengan Bahagian sebelum senarai calon dihantar,"katanya.
Dalam pada itu diminta mengulas kekalahan Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap, Mohamad berkata, kekalahan itu disebabkan pelbagai faktor dan ia perlu dikaji serta diambil perhatian.
Berkenaan Pilihan Raya Kecil DUN Nenggiri pula beliau berharap calon yang bakal ditampilkan kelak oleh parti itu perlulah calon yang boleh menang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!