Isu HRD Corp: Pengurusan tertinggi perlu bertanggungjawab

Laporan Sinar Harian (kiri), Anas
Laporan Sinar Harian (kiri), Anas
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan tertinggi Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) perlu bertanggungjawab dengan cara mengambil cuti, sementara siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan audit Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sedang dijalankan.

Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd, Anas Zubedy berkata, tindakan itu perlu dilakukan secara sukarela memandangkan isu melibatkan pihak berkenaan mendapat perhatian sehingga ‘diserang’ di media sosial.

“Dengan berbuat demikian akan meredakan keadaan, mengurangkan tekanan terhadap mereka (pengurusan tertinggi HRD Corp), dan menunjukkan bahawa mereka tidak perlu takut dengan siasatan yang akan membuktikan mereka tidak bersalah.

“Jika gagal, Menteri Sumber Manusia harus mengambil tindakan. Ini perlu dilakukan segera sebelum SPRM memulakan kerja mereka,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Khamis, mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

Pada Ahad, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, SPRM menubuhkan satu pasukan khas berhubung isu HRD Corp.

Ujar beliau, pihaknya telah menerima laporan audit yang dikemukakan oleh Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Menurutnya, berasaskan laporan audit tersebut, SPRM telah mengenal pasti beberapa isu yang memerlukan dokumen dan keterangan daripada pihak yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Anas berkata, terdapat keperluan mendesak bagi memulihkan keyakinan HRD Corp dengan cepat, terutama kepada penyumbang-penyumbang iaitu organisasi perniagaan.

“Saya menulis sebagai pemilik perniagaan yang menyumbang kepada dana HRDC, penyedia latihan dan yang paling penting, sebagai Ahli Teras #RasuahBusters dan rakyat Malaysia yang prihatin.

“Seruan oleh beberapa individu, organisasi, dan perbincangan dalam komuniti HR untuk menghentikan sumbangan levi kepada HRDC adalah tidak sihat.

“Satu cara yang pasti untuk menghilangkan ketidakpastian dan mengembalikan sedikit keyakinan adalah bagi (Ketua Eksekutif HRD Corp) Datuk Shahul Dawood dan ahli-ahli lembaga HRDC untuk bercuti sementara siasatan dijalankan,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!