Bekas Imam Besar Masjid Negara dinobat Tokoh Maal Hijrah Kedah

Taib Azamudden (kanan) ketika menerima Tokoh Maal Hijrah Kedah oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Dewan Seri Negeri,Wisma Darul Aman pada Ahad.
Taib Azamudden (kanan) ketika menerima Tokoh Maal Hijrah Kedah oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Dewan Seri Negeri,Wisma Darul Aman pada Ahad.
A
A
A

ALOR STAR - Bekas imam Besar Masjid Negara, Datuk Taib Azamudden Md Taib dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Kedah sempena Majlis Perhimpunan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 1446H pada Ahad.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Dewan Seri Negeri,Wisma Darul Aman.

Taib Azamudden, 74, yang dilahirkan di Kampung Rambong, Baling adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir (1987).

Beliau mula menjadi Imam Masjid Negara pada tahun 1992 hingga 1999 sebelum dipilih sebagai Ahli Parlimen Baling bagi dua penggal iaitu 1999 hingga 2004 dan 2008 hingga 2013.

Taib Azamudden yang memegang jawatan sebagai Lembaga Pengarah Maahad Tarbiah Haraki An-Nur, Kuala Ketil berkata, fokus sambutan Maal Hijrah adalah untuk mengingatkan kita bahawa tugas dan peranan kita sebagai umat Islam tidak pernah putus serta tidak boleh jemu.

Taib Azamudden bergambar bersama ahli keluarga yang turut hadir meraikan anugerah yang diterimanya.
Taib Azamudden bergambar bersama ahli keluarga yang turut hadir meraikan anugerah yang diterimanya.

"Kita tidak boleh berasa jemu dengan apa jua cabaran yang kita hadapi, seperti yang dilihat dalam sejarah Nabi Muhammad SAW," Katanya ketika ditemui di Dewan Seri Negeri,Wisma Darul Aman pada Ahad.

Menurutnya, generasi baharu umat Islam harus mengekalkan identiti mereka walaupun menghadapi kesukaran.

Artikel Berkaitan:

"Pertama sekali, generasi muda tidak boleh melupakan jati diri kita dan mesti memperkukuhnya sebagai umat Islam, tanpa mengira kesusahan," katanya.

Pada masa yang sama, bapa kepada Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi itu turut mengingatkan umat Islam di Malaysia agar tidak mengabaikan tugas mereka sebagai warganegara.

"Ulama terkenal Mesir Syeikh Yusuf al-Qaradawi pernah menegaskan bahawa Islam dan politik tidak boleh dipisahkan.

"Beliau juga berkata bahawa membuang undi itu sebahagian daripada kedudukan syahadah kita.

"Makna kata syahadah kita sebagai orang Islam, kita tidak boleh membuang undi yang merosakkan Islam dan itu adalah tanggungjawab sebagai seorang Muslim," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!