Abidin naik lori pusing Sungai Bakap ucap terima kasih
SUNGAI BAKAP - Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail yang diumumkan menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap hari ini tampil bertemu dengan orang ramai menggunakan lori bagi mengucapkan terima kasih.
Beliau yang mula bergerak pada jam 11 pagi itu turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua jentera dan penyokong atas kejayaan dapat mempertahankan kerusi Sungai Bakap.
Menurutnya, meskipun upacara angkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) belum lagi dibuat, namun peranannya sebagai wakil rakyat telah pun bermula pada hari ini.
"Alhamdulillah, untuk hari ini kita buat hebahan secara bergerak menggunakan lori. Setakat ini, saya bersama jentera telah pergi ke Unit Daerah Mengundi (UDM) Kampung Besar dan UDM Sungai Kechil.
"Kita akan turun ke kesemua lapan UDM bagi merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi yang memberi kepercayaan kepada PN hingga menang majoriti yang besar," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.
Abidin yang mesra disapa dengan panggilan Abang Abidin berkata, pihaknya belum dimaklumkan tarikh angkat sumpah sebagai wakil rakyat setakat ini.
Bagaimanapun, beliau telah bersedia untuk menjadi pendesak yang kuat dalam DUN bagi memastikan keluhan rakyat sampai dan tindakan lanjut diambil bagi mengatasinya.
"Kita akan jadi pendesak yang kuat jika berlaku sesuatu isu kita akan jadi perantara dengan pihak berkaitan termasuk memberikan cadangan apa yang sepatutnya dilakukan bagi menyelesaikan isu tersebut.
"Contohnya masalah air kita akan mendesak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk mengatasinya.
"Dakwaan PN tidak boleh buat apa kalau menang itu tidak relevan kerana tugas kita untuk memastikan ada semak imbang dalam kerajaan negeri," katanya.
Pada Sabtu, PN berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dalam PRK kawasan itu dengan majoriti 4,267 undi.
Bekas eksekutif logistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan pencabarnya calon PH, Dr Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang meraih 10,222 undi.
*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!