[VIDEO] 'Pengiktirafan buat semua Rumah Ngaji di Malaysia'
IPOH - Penerima Anugerah Siti Khadijah Sempena Sambutan Kemuncak Maal Hijrah Negeri Perak Tahun 1446H menyifatkan ia sebagai pengiktirafan buat semua Rumah Ngaji di seluruh negara.
Pengerusi Rumah Ngaji Perak yang pertama, Noor Mazlina Noor Shah berkata, anugerah tersebut merupakan tertinggi yang pernah diterimanya sejak menerajui Rumah Ngaji Perak pada tahun 2014.
Menurutnya, ia merupakan sesuatu yang amat bermakna dan menjadi pencetus semangat perjuangan untuk terus mengajak orang ramai membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan al-Quran.
"Terima kasih kepada suami dan anak-anak saya yang menyokong perjuangan ini. Penghargaan ini adalah penghargaan kepada al-Quran. Pengiktirafan ini bukan kepada saya tetapi buat Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, semua Rumah Ngaji di seluruh Malaysia, penggerak Rumah Ngaji dan sekretariat Rumah Ngaji.
"Mudah-mudahan dengan penganugerahan ini menjadi pemangkin untuk penggerak-penggerak Rumah Ngaji lain untuk terus istiqamah. Saya sentiasa rasa ghairah untuk membuka Rumah Ngaji dan sentiasa bersedia memberi penerangan mengenai Rumah Ngaji sehingga mereka setuju untuk buka Rumah Ngaji di kawasan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah tersebut di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Ahad.
Majlis penyampaian anugerah khusus untuk tokoh wanita tersebut disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Noor Mazlina, 66, berkata, menjadi satu kepuasan apabila dapat membantu orang ramai membaca al-Quran dengan lancar dan baik selain memahami isi kandungan al-Quran.
Beliau yang kini menjadi salah seorang Penasihat Rumah Ngaji Perak menjelaskan sehingga kini dianggarkan lebih 7,000 ahli Rumah Ngaji Perak mengikuti pengajian di seluruh daerah di negeri ini.
Dalam pada itu, demi kasihnya dan cinta beliau terhadap al-Quran, beliau turut mewakafkan sebidang tanah bersama Pusat Pengajian Aisy Karimah yang menempatkan Rumah Ngaji di Simpang Lawin, Kuala Kangsar.
Katanya, selain itu sebuah banglo di atas sebidang tanah miliknya di Kampung Talang, Kuala Kangsar juga sudah diwakafkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk dijadikan Maahad Tahfiz Al-Quran Bait An-Nur yang akan beroperasi tidak lama lagi.
Sementara itu, seorang penerima Anugerah Khas Sempena Sambutan Kemuncak Maal Hijrah Negeri Perak Tahun 1446H, Fifi Nurfatin Marjaidi Hirwan, 18, turut terharu dengan pengiktirafan diterimanya.
Jelas pelajar cemerlang Orang Asli yang memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu, ia menjadi satu suntikan semangat untuk memajukan diri serta memotivasikan anak-anak Orang Asli yang lain.
"Saya sangat bersyukur dan berharap anugerah ini dapat beri inspirasi kepada orang lain. Memang hasrat saya untuk jadi guru bagi membantu meningkatkan lagi kualiti pendidikan anak-anak Orang Asli.
"Pengalaman yang saya ada ini akan digunakan untuk berkongsi serta menambah baik keperluan pendidikan masyarakat Orang Asli dan saya harap impian ini akan tercapai suatu hari nanti," katanya.
Pada majlis itu, Noor Mazlina dan Fifi Nurfatin menerima wang tunai RM5,000, plak penghargaan dan sijil.
Sebelum itu, Pensyarah Kanan Universiti Sultan Azlan Shah, Profesor Madya Dr Ahmad Husni Hasan turut diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1446 Peringkat Negeri Perak dengan membawa pulang wang tunai RM15,000, pakej umrah bernilai RM9,000, plak dan sijil.
Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Ar Ridzuan kepada Felo Penyelidik Utama Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud.
Beberapa anugerah lain turut disampaikan iaitu Anugerah Saidina Ali kepada Mohamad Firdaus Kamaruddin dan Ikon Asnaf yang dimenangi Robunah Abdul Basir.
Anugerah Al-Quba Pengurusan Masjid Terbaik pula diterima Masjid An-Naim, Taman Seri Setia, Teluk Intan manakala Anugerah Al-Baqi Pengurusan Tanah Perkuburan Terbaik pula disampaikan kepada Taman Persemadian Islam Seri Manjung.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!