Kesuma laksana pembaharuan tingkat tadbir urus sebelum audit selesai - Steven Sim

Steven Sim
Steven Sim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) telah melaksanakan pelbagai pembaharuan untuk meningkatkan tadbir urus di seluruh kementerian biarpun sebelum audit selesai, termasuk di Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, beliau dilantik sebagai menteri berkenaan pada Disember tahun lepas manakala isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) adalah bagi tempoh 2019 hingga 2023.

“Dalam tempoh enam bulan ini, sebelum audit selesai, Kesuma telah melakukan pelbagai pembaharuan untuk meningkatkan tadbir urus di seluruh kementerian. Di HRD Corp kami menubuhkan Jawatankuasa Risiko dan Jawatankuasa Audit baharu sebagai usaha memastikan pengurusan kewangan yang lebih baik.

“Mengetatkan prosedur dalam mentadbir pelaburan juga dilaksanakan. Dana Inisiatif Strategik (SIF) baharu diwujudkan untuk mengasingkan akaun amanah levi. Levi sepatutnya hanya digunakan sepanuhnya untuk tujuan latihan oleh majikan kepada pekerja mereka.

“SIF dibiayai daripada keuntungan HRD Corp dan ia untuk digunakan sebagai menyokong pelbagai latihan kemahiran dan inisiatif pembangunan modal insan seperti untuk membantu golongan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) yang mungkin tidak memiliki atau memiliki levi HRD Corp yang terhad untuk melatih pekerja mereka dan menyediakan latihan kemahiran kepada golongan rentan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Steven berkata, kementeriannya turut memperkenalkan langkah jangka pendek untuk meningkatkan kualiti latihan dan menggalakkan penggunaan levi yang lebih tinggi dalam kalangan majikan, sekali gus memastikan ia digunakan sebanyak dan secepat mungkin untuk pembangunan modal insan.

Menurut Steven, beliau telah mengarahkan Kesuma dan HRD Corp untuk memberikan kerjasama sepenuhnya ‘tanpa sebarang halangan’ terhadap proses audit oleh Jabatan Audit Negara dan PAC apabila dimaklumkan tentang audit itu semasa mengambil alih jawatan.

Beliau berkata maklum balas segera diberikan oleh Kesuma selepas kedua-dua laporan terbabit dibentangkan, yang turut menyaksikan laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh 24 jam, sekali gus menunjukkan asprirasi Kesuma terhadap akauntabiliti dan integriti yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Steven berkata, beliau juga telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood untuk membuat laporan terbabit.

Sebanyak tiga kenyataan turut dikeluarkan oleh beliau, Khairul Dzaimee dan Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp Datuk Abu Huraira Abu Yazid, juga dalam tempoh 24 jam selepas kedua-dua laporan dibentangkan, yang disifatkan Sim sebagai ‘menunjukkan keseriusan dan bahawa pihak kepimpinan menangani situasi dengan segera’. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!