PRK Sungai Bakap: Manifestasi politik, ekonomi pacu kemenangan PN

Laporan Sinar Harian. Mahathir (kanan).
Laporan Sinar Harian. Mahathir (kanan).
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap adalah manifestasi kehendak rakyat terhadap reformasi politik dan ekonomi.

Setiausaha PN Wilayah Persekutuan, Mahathir Md Rais berkata, dalam suasana pilihan raya kecil yang sarat dengan tohmahan dan kritikan, PN telah membuktikan kejituan politiknya melalui kemenangan gemilang YB Abidin Ismail di Sungai Bakap.

Menurutnya, kemenangan bukan lebih dari sekadar angka, ia merupakan aspirasi rakyat yang mendesak perubahan dalam pengurusan ekonomi dan sosial negara.

“Isu utama yang dominan dalam perbincangan dari warung kopi hingga bilik mesyuarat adalah kenaikan harga diesel yang membebankan.

“Pengusaha kecil, khususnya dari komuniti Cina yang mendominasi sektor pengangkutan, pembuatan dan perkhidmatan dalam negara, amat terkesan dengan beban tambahan kos operasi yang mengikis keuntungan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelasnya, setiap sen kenaikan harga diesel bukan hanya angka pada kertas, tetapi sebuah cabaran nyata bagi mereka yang bergantung kepada operasi harian yang memerlukan banyak penggunaan bahan bakar.

“Ini telah menyebabkan gelombang kekecewaan yang mendalam dalam kalangan pengusaha yang kini melihat PN sebagai harapan baru bagi suara mereka didengari dan dihargai.

“Selain itu, komen-komen sinis dan jelik daripada beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) terhadap rakyat telah menambah perasaan menyampah dan meluat dalam kalangan pengundi. Ini bukan hanya tentang ekonomi, ia juga tentang harga diri dan rasa hormat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, melalui setiap cabaran, PN berhasrat untuk membangun Malaysia yang inklusif, di mana setiap suara dihargai dan setiap sumbangan dihargai.

“Kemenangan ini adalah kemenangan bagi semua, sebuah simbol daripada kekuatan rakyat dan keinginan perubahan,” katanya.

Pada Sabtu, calon PN, Abidin Ismail menewaskan calon PH Dr Joohari Ariffin pada PRK Sungai Bakap pada PRK Sungai Bakap

Abidin, 56, secara rasmi menang dengan memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya daripada PH, Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!